Ikan Lik mudik ke hulu petanda banjir

Ikan Lik mudik ke hulu petanda banjir

IDRIS Dollah menunjukkan spesies ikan Lik yang ditangkap menggunakan jaring di Sungai Tembeling berdekatan Kampung Bantal, Hulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kemunculan ‘ikan Lik’ di hulu Sungai Tembeling di sini yang merupakan spesies hidupan air tawar yang ditemukan pada waktu tertentu sahaja menandakan musim tengkujuh dan banjir akan bermula.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, nelayan terbabit, Idris Dollah, 60, berkata, spesies ikan itu hanya akan mudik ke hulu Sungai Tembeling untuk bertelur sebelum air sungai besar.

“Ikan Lik dalam jumlah yang banyak akan mudik ke hulu sungai untuk bertelur sebelum air sungai besar (paras air belum naik), namun hujan sudah bermula di hulu sungai.

“Ketika ikan ini mudik, penduduk di sini beramai-ramai akan turun ke Sungai Tembeling memasang jaring untuk menangkap ikan Lik,” katanya di Kampung Bantal kira-kira 130 kilometer di sini semalam.

Menurut Idris, menangkap ikan Lik begitu mudah kerana spesies tersebut mudik dalam koloni yang banyak dan setiap kali jaring dipasang dalam sungai akan kelihatan puluhan ikan tersebut tersangkut.

“Sungguh menyeronokkan apabila melihat spesies ini tersangkut di jaring dan bagi mereka yang berulang kali menahan jaring sudah tentu memperoleh hasil tangkapan yang banyak,” katanya.

Tambahnya, kelmarin, dia memperoleh seberat 80 kilogram ikan Lik dan dijual dengan harga RM10 sekilogram, manakala selebihnya untuk masakan campuran asam tempoyak hidangan tengah hari keluarganya.

Sementara itu, penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 45, berkata, kehadiran spesies ikan Lik mudik ke hulu Sungai Tembeling bagi masyarakat Melayu di situ memberi sebagai petanda banjir akan bermula.

“Hal ini kebiasaannya pada awal Oktober hingga November. Sebelum paras air sungai belum lagi naik, koloni ikan Lik akan mudik ke hulu sungai untuk bertelur,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN