SEPANG: Langkah Kementerian Pengangkutan (MOT) yang melaksanakan inisiatif khas penerbangan tambahan menyaksikan harga tiket domestik menurun menjelang perayaan Krismas turun ini.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) turut memantau rapi isu harga tiket penerbangan ketika musim perayaan Krismas.
“Untuk sambutan Krismas pada minggu depan, kita setakat ini telah pun berjaya dalam memudahcara sebanyak 114 penerbangan tambahan meliputi semua syarikat.
“Justeru, kejayaan Mavcom melakukan lebih 100 penerbangan tambahan membolehkan kos jatuh lima sehingga 33 peratus setakat pagi tadi berbanding minggu lepas,” katanya selepas Mesyuarat Perancangan Strategik Pengurusan Tertinggi Kementerian Pengangkutan di Sama Sama Hotel hari ini.
Jelasnya, beliau turut menerima rungutan penumpang apabila harga tiket tiba-tiba melonjak melebihi RM1,000 terutama pada saat-saat akhir kerana tiada pilihan baki kerusi.
Tambahnya, pelaksanaan tambang RM599 itu akan bermula pukul 12.01 tengah malam 16 Disember dengan melibatkan tiket sehala kelas ekonomi dengan harga disubsidikan itu tidak termasuk cukai dan fi lain.
“Pada masa sama, saya juga beri amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan oleh pihak Mavcom kepada syarikat yang didapati sengaja mengingkari skim ini,” tegas beliau.