Graduan hari ini, pemimpin masa hadapan

Graduan hari ini, pemimpin masa hadapan

Graduan perlu bangkit sebagai pemimpin masyarakat, peneroka peluang dan sederap menjadi benteng pelindung bagi bangsa, agama dan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Syukur dan tahniah buat semua graduan yang baru menerima ijazah masing-masing semasa musim konvokesyen universiti-universiti awam Malaysia pada tahun 2023 ini.

Tahniah juga diucapkan kepada para ibu bapa dan keluarga graduan, kegembiraan pencapaian di menara gading ini turut dikongsi bersama.

Namun begitu, realiti kehidupan sudah banyak berubah berbanding dengan dulu. Peluang pekerjaan bagi seorang graduan walaupun lebih luas tetapi tidak lagi terjamin mudah diperolehi seperti dahulu.

Pada masa yang sama, kematangan kekuatan tenaga kerja sektor perkhidmatan awam kini memberi beban besar kepada perbelanjaan negara, memaksa keadaan di mana jawatan-jawatan tetap penjawat awam menjadi kurang dan peralihan kepada kebergantungan penjawatan secara kontrak bagi mengisi keperluan baru.

Maka persaingan sudah menjadi sangat hebat, terutama bagi jawatan-jawatan di sektor kerajaan. Dunia keusahawanan dan perniagaan kini semakin menjadi kerjaya alternatif bagi golongan siswa yang menghadapi kesukaran mencari pekerjaan bersifat tradisional.

Pusat pengajian tinggi bukan sahaja perlu melahirkan graduan yang bijak dan berilmu tetapi juga mempunyai akhlak yang mulia, pegangan moral yang kukuh dan cekal bersemangat.

Hakikatnya, Malaysia sudah pun melalui proses transformasi yang pesat dan meluas melibatkan perubahan ketara struktur ekonomi dan masyarakatnya sehingga menjadi sebuah ekonomi baru berasaskan industri.

Kejayaan melahirkan bentuk ekonomi baru ini telah mewujudkan kelas pertengahan baru, terutama di kalangan golongan bumiputera, yang telah mengubah lanskap dan struktur ekonomi politik kebangsaan.

Ini dimanifestasikan dengan semakin ramai golongan profesional Melayu yang lulus pengajian di peringkat universiti kini bergiat aktif dalam pelbagai sektor ekonomi, akademik dan sosiopolitik kebangsaan.

Generasi pertama golongan ini lah yang telah banyak mempelopori bidang-bidang teknikal dan kepakaran tinggi di Malaysia, membuka peluang kepada generasi seterusnya berkecimpung dalam sektor-sektor teknologi tinggi tanpa halangan.

Peralihan generasi pertama dan kedua kepada generasi ketiga kelas menengah baru

Generasi pertama kelas pertengahan ini sudah pun diganti sepenuhnya oleh generasi kedua, yang menjadi penerima manfaat pertumbuhan pesat ekonomi negara di zaman 1990an.

Mereka ini yang kebanyakannya memperolehi pendapatan daripada berkerjaya sebagai seorang profesional makan gaji yang berkembang secara terancang dan linear.

Sejak kebelakangan ini, dengan isu-isu panas berkenaan pekerja kontrak kerajaan dan pasaran pekerjaan tempatan, alam pekerjaan kini sudah tidak menentu lagi nasibnya, kestabilan pendapatan seorang yang berkerjaya sentiasa dicabar dan tidak lagi terjamin sehingga ke persaraan.

Zaman pandemik COVID19 yang baru sahaja berlalu telah mengubah segala-galanya, terutama bagi golongan kelas menengah bumiputera.

Hanya segelintir sahaja yang masih mampu mengekalkan pergerakan menaiki status sosial (upward social mobility), terlindung daripada tekanan kesan negatif kejatuhan ekonomi isi rumah dan kenaikan kos sara hidup. Ini terhasil sedikit sebanyaknya daripada pemusatan kekayaan kepada golongan-golongan tertentu sahaja, menyebabkan jurang perbezaan besar di kalangan masyarakat dan semakin ramai yang terpinggir akibat kemiskinan.

Situasi bagi kebanyakan golongan muda generasi ketiga dari kelas pertengahan kini pula adalah kerencatan pertumbuhan pendapatan bagi kebanyakan isi rumah golongan kelas menengah, sedangkan kos sara hidup meningkat.

Namun yang lebih membimbangkan adalah kewujudan kumpulan miskin baru, iaitu golongan B40 yang gagal mengekalkan tahap sosioekonomi akibat kehilangan sumber pendapatan lazim.
Semasa bencana COVID-19 yang lepas, ramai di kalangan isi rumah M40 yang telah jatuh menjadi golongan B40, menambah lagi bilangan kumpulan prekariat yang sentiasa merasa terancam.

Banyak peluang untuk menyambung pelajaran ke tahap tertiari telah disediakan, baik dalam aliran tradisional mahupun teknikal dan vokasional.

Peranan Universiti menghasilkan insan kamil dan warga masyarakat madani

Universiti-universiti awam, politeknik dan kolej-kolej komuniti telah bergerak sehaluan dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan keupayaan generasi ketiga ini terdiri daripada golongan anak muda dan pekerja-pekerja matang supaya dapat menyumbang dengan lebih bermakna dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Banyak peluang-peluang untuk menyambung pelajaran ke tahap tertiari telah disediakan, baik dalam aliran tradisional mahupun teknikal dan vokasional.

Sekiranya ingin mula mencari rezeki awal selepas tamat persekolahan sekalipun, tidaklah menjadi alasan tidak menyambung pelajaran ke tingkat setinggi mungkin kerana ilmu yang dipelajari tidaklah merugikan, dan pengiktirafan daripada menerima sijil, diploma atau ijazah membuka pintu kepada bidang-bidang pekerjaan yang mampu membawa pulangan lebih besar setelah usia semakin meningkat kelak.

Selain itu, pusat-pusat pengajian tinggi perlu juga melahirkan graduan yang bukan sahaja bijak dan berilmu tetapi mempunyai akhlak yang mulia, pegangan moral yang kukuh dan cekal bersemangat. Insan yang kamil seperti ini mempunyai nilai budaya yang tinggi, dan dapat membentuk masyarakat bertamadun serta berguna kepada masyarakat, negara dan alam semesta.

Tugas graduan mendepani cabaran-cabaran perdana dengan semangat, kepintaran dan kecekalan

Generasi ketiga yang dimaksudkan ini perlu bangkit sebagai pemimpin masyarakat, peneroka peluang dan sederap menjadi benteng pelindung bagi bangsa, agama dan negara. Segala bentuk peluang untuk melepaskan diri dari belenggu perangkap kerencatan mobiliti sosial mesti digarap sepenuhnya.

Di antara cabaran-cabaran perdana untuk memajukan Malaysia di era pasca pandemik yang pernah dibentangkan dalam kajian-kajian terkini adalah Masyarakat Digital dan Hab Teknologi, Pendidikan dan Kesihatan Berkualiti untuk semua, Pekerjaan Baik dan Mobiliti Sosial, Jaminan Makanan dan Tenaga, Membina Ketahanan Iklim dan Persaingan di Pasaran Global.

Kesemua cabaran-cabaran ini akan memerlukan golongan muda yang berkeupayaan tinggi dan bersemangat waja, seperti graduan-graduan muda yang baru dinobatkan ini, untuk menggerakkan inisiatif-inisiatif strategik yang akan meningkat tawaran nilai negara dalam sektor-sektor dimaksudkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya