Pengecualian levi pendidikan setahun

Pengecualian levi pendidikan setahun

ANWAR Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (dua kiri) melakukan gimik pelancaran Karnival Pembelajaran Minggu Latihan Kebangsaan 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dalam sejarah nega­ra, kerajaan mengumumkan penge­cualian sepenuhnya pem­bayara­n levi bagi semua pe­ringkat institusi pendidikan dan latihan swasta selama setahun, bermula 1 Januari 2026.

Levi pendidikan merujuk kepada cukai atau bayaran khas yang dikenakan kerajaan ke atas individu, syarikat atau institusi swasta bagi tujuan membiayai sektor pendidikan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengecualian itu melibatkan pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, institusi pengajian tinggi (IPT) serta institut latihan yang bertujuan memberi ruang kepada kementerian berkaitan untuk menumpukan usaha meningkatkan mutu pendidikan dan latihan kemahiran negara.

“Percayalah Kerajaan Madani akan cari kaedah dan peruntukan yang sebaiknya untuk membantu anak-anak. Setelah banyak pandangan daripada segi pendidikan dan latihan supaya pembayaran levi dikecualikan bagi prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan vokasional serta institusi pendidikan.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha pembaharuan menyeluruh. Kita mahu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia memberi tumpuan penuh terhadap peningkatan kualiti, pemantauan serta pembinaan sistem yang mampan demi masa depan anak-anak kita,” katanya berucap di Karnival Pembelajaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Bukit Jalil di sini, semalam.

Karnival selama dua hari itu dianjurkan oleh HRD Corp. dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia.

Ia adalah inisiatif tahunan yang membuka akses peluang pembelajaran dan latihan percuma kepada semua individu tanpa mengira umur, latar belakang atau tahap pendidikan.

Tambah Perdana Menteri, pendekatan itu tidak bersifat populis, sebaliknya merupakan pelaburan strategik ke arah pembinaan tenaga kerja masa depan yang berdaya saing dan beretika.

Menurutnya, pengecualian le­vi juga memberi peluang kepa­da institusi untuk menyemak semula struktur dan pendekatan pembelajaran, termasuk mem­perkukuh kerjasama industri dan penglibatan komuniti dalam pendidikan dan latihan.

“Selain itu, pantau juga syarikat swasta yang catat keuntungan tinggi untuk berikan sedikit pulangan kepada pekerja,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN