Golongan asnaf perlu kreatif ceburi bidang keusahawanan - Utusan Malaysia

Golongan asnaf perlu kreatif ceburi bidang keusahawanan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengurniakan Anugerah Usahawan Terbaik MAIPs 2023 kepada Haron Aswad Razi,37, yang mengusahakan perniagaan jahitan khususnya membaiki seluar di Arked Mara Simpang Empat, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Golongan asnaf digalakkan untuk menceburi bidang keusahawanan secara kreatif dan inovatif dalam usaha mengeluarkan diri masing-masing daripada belenggu kemiskinan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perniagaan yang diusahakan secara kreatif dan inovatif sama ada daripada segi produk dan pemasaran mampu meningkatkan kebolehpasaran dalam dunia persaingan yang semakin kompetitif ini.

Baginda bertitah, peniaga tidak boleh terlalu bergantung dengan cara perniagaan yang tradisional dalam era ini di mana jumlah peniaga kecil dan sederhana semakin ramai dan persaingan semakin sengit.

“Bilangan peniaga yang menjual produk yang sama mungkin terlalu banyak dan ini mungkin menyukarkan kita untuk menarik minat orang ramai untuk membeli produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

“Di sinilah pentingnya untuk kita menggunakan inovasi dan kreativiti supaya produk kita lebih dikenali, viral atau ‘eye catching’,” titah baginda sambil mengingatkan bahawa sesuatu produk atau pengiklanan haruslah diketengahkan menggunakan unsur yang positif.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengurniakan Anugerah Usahawan Terbaik Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) 2023 kepada Haron Aswad Razi,37, yang mengusahakan perniagaan jahitan khususnya membaiki seluar di Arked Mara Simpang Empat di sini semalam.

Mengiringi baginda, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Haron Aswad pernah mendapat bantuan kewangan berupa modal sebanyak RM700 pada tahun 2018 daripada MAIPs untuk memulakan perniagaan dan terus berkembang dan berjaya beroperasi sehingga ke hari ini.

Terdahulu, baginda mengetuai program kayuhan MAIPs peduli dan berkenan singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf di Kampung Sungai Baru Tengah di sini.

Mereka menerima RM700, kit MAIPs peduli berisi bahan makanan mentah dan sekampit beras fidyah daripada pihak MAIPs.

Sementara baginda bertitah, MAIPs turut menyediakan pelbagai bentuk latihan dan bantuan modal kepada asnaf yang ingin memulakan perniagaan mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya