Gangguan air; 4 peringkat pemulihan bekalan air dirancang - Utusan Malaysia

Gangguan air; 4 peringkat pemulihan bekalan air dirancang

K. PATHMANATHAN (dua dari kanan) ketika meninjau LRA Sungai Dua di Butterworth, Pulau Pinang, hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yakin 33 peratus daripada 590,000 pengguna terjejas akan menerima bekalan air dalam tempoh 48 jam menerusi pemulihan perkhidmatan bekalan air secara berperingkat Januari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan berkata, pemulihan bekalan air yang terbahagi kepada empat peringkat akan dilaksanakan ketika operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dihentikan bagi kerja penggantian dua unit injap kawalan 1,200 milimeter (mm) yang bocor.

INJAP bocor di LRA Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang yang akan diganti bermula 10 sehingga 14 Januari nanti. – Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Katanya, pemulihan bersasar dalam tempoh 48 jam membabitkan 197,025 pengguna terjejas termasuk pengguna air bukan domestik utama di kawasan Butterworth dan Perai.

“Dalam tempoh 72 jam, sebanyak 84 peratus pengguna di Georgetown, Zon Perdagangan Bebas (FTZ) di Bayan Lepas dan Seberang Perai Selatan (SPS) dijangka menerima semula bekalan air.

“Selain itu, dijangkakan 99 peratus pengguna di Georgetown dan Seberang Perai termasuk pengguna di bahagian hujung paip agihan (HPA) dan kawasan tinggi akan mendapat bekalan air dalam tempoh 96 jam.

“Ini adalah senario terancang untuk memulihkan perkhidmatan bekalan air secara beransur-ansur dan kerjasama penduduk amat diharapkan bagi memastikan pelan ini berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau persiapan gerak kerja pembaikian paip rosak di LRA Sungai Dua di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau walau bagaimanapun berkata, keberkesanan jangkaan pemulihan perkhidmatan bekalan air itu bergantung kepada kedekatan pengguna dengan LRA Sungai Dua.

“Ia juga meliputi lokasi pengguna berhampiran infrastruktur bekalan air utama Pulau Pinang seperti kolam air terawat dan rumah pam di Batu Kawan, Bukit Minyak, Bukit Dumbar dan Bukit Gedung.

“Kita tidak menyasarkan pemulihan serentak atas beberapa faktor antaranya rumah pam hanya boleh dimulakan semula dalam turutan yang telah ditetapkan.

“Selain itu, kita juga menangani isu berkaitan dengan pengisian semula rumah pam yang betul dan tekanan saluran paip selain berdepan kemungkinan paip pecah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan 590,000 pengguna air di Pulau Pinang akan mengalami gangguan air berjadual bermula pada 6 pagi 10 Januari hingga 6 pagi, 14 Januari 2024, melibatkan lebih 50 kawasan di Seberang Perai dan hampir keseluruhan kawasan di bahagian pulau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya