Gaji naik, harga barang pun naik

Gaji naik, harga barang pun naik

Kenaikan pendapatan berdasarkan dasar gaji progresif dijangka turut menaikkan harga barang keperluan. – GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan melaksanakan dasar gaji progresif pada Jun tahun hadapan membabitkan kumpulan ter­tentu memang disambut positif, namun ia bukan penyelesaian yang terbaik kepada rakyat secara keseluruhan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, ini kerana kenaikan harga barang akan berlaku dengan lebih pantas dan ia memberi kesan tidak hanya kepada mereka yang dinaikkan gaji sahaja.

“Ini kitaran yang kita panggil ‘reactive’. Apabila gaji naik, harga barang akan naik kerana kita mengamalkan pasaran bebas. Kita bukan negara komunis di mana kerajaan kawal semua harga barang. Hanya barangan tertentu yang kerajaan boleh kawal.

“Jadi kita perlu terima hakikat yang kenaikan harga barang ini memang tidak boleh dikawal. Bagaimanapun, usaha kerajaan untuk menaikkan gaji perlu dipandang positif, cuma harga barang naik lebih cepat dan lebih tinggi daripada kenaikan gaji.

“Kenaikan yang berlaku bulan Jun nanti juga tidak melibatkan semua sektor tetapi yang merasa beban kenaikan harga ini bukan hanya kumpulan tertentu, tetapi keseluruhan masyarakat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan peruntukan RM2 bi­lion bagi melaksanakan dasar gaji progresif untuk meningkatkan gaji kira-kira 1.05 juta pekerja negara ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga dijangka memberi nilai tambahan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.3 bilion.

Selain itu, beliau menjangkakan tambahan kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM790 juta dan hasil cukai pendapatan dijangka RM1.8 bilion pada tahun pelaksanaan.

Menurut Madeline, pelbagai kaedah kerajaan sudah lakukan sebelum ini, namun isu harga barang naik masih tiada penyelesaiannya sehingga hari ini.

“Ini kerana kerajaan hanya kawal harga barangan tertentu, bukan semua barangan. Apa yang kerajaan tidak lakukan? Undang-undang pencatutan, beri subsidi, tetapi harga barang tetap naik seperti biasa.

“Jadi apa yang perlu dilakukan adalah peluang pekerjaan perlu dipertingkatkan, pe­la­buran domestik dan asing perlu bertambah.

“Cuba lihat, orang yang kaya tidak langsung bising tentang harga barang naik. Tetapi yang bising siapa? Golongan B40, M40, ini yang cukup terkesan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis ekonomi, Dr. Nur Surayya Mohd. Saudi percaya penyelewengan dana sukar dilakukan dalam pelaksanaan gaji progresif kerana wujud sistem yang mampu memantau kenaikan tangga gaji pekerja secara terus.

“Kutipan cukai dibuat setiap bulan, dari situ kita sudah boleh nampak ada kenaikan, LHDN pun kita akan kutip banyak, pemantauan daripada unit Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan mereka akan bayar ikut gaji yang dinaikkan. Dari situ kerajaan sudah boleh pantau.

“Jadi penyelewengan itu sukar berlaku kerana ia secara terus kepada isi rumah, kenaikan gaji ini lebih mudah dipantau berbanding dana-dana lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN