Empat sekawan dipenjara 16 tahun rogol budak perempuan - Utusan Malaysia

Empat sekawan dipenjara 16 tahun rogol budak perempuan

EMPAT tertuduh yang didapati bersalah merogol seorang budak perempuan 12 tahun secara berkumpulan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Empat sekawan dipenjara 16 tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan rogol secara berkumpulan terhadap seorang budak perempuan berusia 12 tahun, tiga tahun lalu.

Hakim Nooriah Osman membacakan keputusan itu hari ini setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Farizal Fauzi, 20, Tuan Muhammad Shafiq Tuan Ismail, 24, Muhammad Ghardafi Abdullah, 23, dan Ahmad Syah Herfudin Omar, 26, didakwa bersama-sama merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 12 tahun.

Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah ladang sawit di Ketengah Jaya, Dungun antara jam 9 sehingga 11 malam pada 29 September 2020.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Nooriah dalam penghakimannya berkata, mahkamah telah menimbang keterangan pihak pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum membuat keputusan terhadap tertuduh.

“Bagi kes ini mahkamah membuat penilaian maksimum terhadap hujahan kedua-dua pihak termasuk kredibiliti saksi dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie.

“Oleh itu setelah menimbang keterangan itu, mahkamah berpuas hati dan mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun kepada tiga tertuduh bermula tarikh sabit kesalahan manakala Ahmad Syah Herfudin bermula tarikh ditangkap iaitu 11 Oktober 2020.

Pada 5 Februari lalu akhbar ini melaporkan empat lelaki diarah membela diri manakala seorang dibebaskan atas tuduhan rogol berkumpulan terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dan tujuh saksi daripada pihak pembelaan dipanggil sepanjang prosiding perbicaraan ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin dan Mohd. Shahir Mat Jusoh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya