Dua suspek termasuk adik ditahan, disyaki terlibat bunuh kakak - Utusan Malaysia

Dua suspek termasuk adik ditahan, disyaki terlibat bunuh kakak

LOKASI kejadian bunuh melibatkan seorang wanita warga asing di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua suspek utama kes pembunuhan melibatkan seorang wanita warga asing berusia 41 tahun di kawasan perumahan di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek yang ditahan adalah adik lelaki kepada mangsa yang berusia 24 tahun dan seorang lagi wanita berusia 41 tahun.

Menurut beliau, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 7.47 malam tadi.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 4.35 pagi. Siasatan dibuat mendapati mangsa maut ditikam objek tajam pada pukul 2.30 pagi.

“Bertindak atas maklumat, polis bmenahan suspek wanita di kediamannya, manakala suspek lelaki pula ditahan di tempat pembuangan sampah kawasan perumahan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan, bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan.

“Kedua-dua suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-6943836,” katanya.

Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, adik kepada mangsa mengetuk pintu rumahnya pada pukul 2 pagi untuk meminta air.

“Ketika itu kami sudah tidur, tetapi terbangun kerana terdengar bunyi bising seperti orang bergaduh. Tidak lama selepas itu adik mangsa mengetuk pintu rumah dan meminta air.

“Saya yang dalam keadaan mamai kerana baru terjaga daripada tidur memberikannya air, dia ambil air itu kemudian terus melarikan diri,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga yang juga enggan dikenali memberitahu, mangsa bersama adiknya menjual ayam penyet bersebelahan gerainya sejak dua bulan lalu.

“Mereka adik-beradik, kedua-duanya merupakan warga Indonesia. Walaupun berniaga di gerai bersebelahan tetapi kami tidak banyak berbual jadi tidak berapa kenal.

“Mereka kelihatan normal sahaja, tiada apa-apa yang pelik, adiknya juga normal, cuma kurang bercakap,” ujarnya yang mengakui terkejut dengan berita kematian mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya