KUBANG PASU: Dua remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun melecur tahap tiga dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Changlun, Kampung Ibol di Kodiang hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.40 pagi itu, dua kereta jenis Proton Satria Neo dan Perodua Kancil, selain 10 buah motosikal turut terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, kedua-dua remaja terbabit dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.
“Proton Satria Neo terbakar 30 peratus, Perodua Kancil terbakar 10 peratus dan 10 buah motosikal pula dengan anggaran kemusnahan sehingga 60 peratus.
“Setakat ini punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Menurut Zulkifli, kediaman setingkat berkeluasan 20×75 kaki persegi itu pula telah hangus terbakar sehingga 90 peratus.
Tambahnya, sepasukan anggota dari BBP Bukit Kayu Hitam dibantu BBP Jitra dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 11.18 pagi,” katanya. –UTUSAN










