PETALING JAYA: Kejayaan meraih pingat emas di Terbuka Singapura menjadi pembakar semangat atlet 110 meter (m) lari berpagar negara, Muhammad Armin Zahryl Abdul Latif.
Lebih membanggakan, Armin turut melakar catatan terbaik (PB) 13.82 saat (s) dalam aksi final itu, biarpun atlet dari Dungun, terengganu itu hadir ke Singapura tanpa sasaran tinggi.
Kejayaan manis itu membuktikan peningkatan konsisten berbanding rekod terdahulu, sekali gus memberi isyarat bahawa pelari muda ini berada di landasan tepat.
Armin menyifatkan kejayaan memperbaharui PB sebagai detik penting dalam kariernya, apatah lagi ianya hadir ketika dia meletakkan sasaran lebih sederhana musim ini.
“Alhamdulillah ini kali pertama saya buat PB di Singapura dengan catatan 13.82s berbanding sebelum ini 13.85s dan saya sangat bersyukur.
“Saya nak ucap terima kasih kepada ibu, jurulatih, rakan sepasukan dan rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan saya,” kata Armin.
Sasaran awal Armin bagi tahun ini hanyalah sekitar 13.9s atau 14s, namun pencapaian di Singapura melangkaui jangkaan dan memberi petunjuk keupayaannya untuk pergi lebih jauh.
“Untuk tahun 2026, sasaran saya hanya 13.9s atau pun 14s dan Alhamdulillah hari ni saya dapat membuat PB,” katanya.
Dalam aksi final, Armin menewaskan atlet tuan rumah Ang Chen Xiang yang meraih perak dengan 13.85s manakala gangsa dimenangi Clinton Kingsley Bautista dari Filipina dengan catatan 14.22s.-UTUSAN










