Kenaikan insentif IPKP tidak memadai, pesawah tuntut kad fleet

Kenaikan insentif IPKP tidak memadai, pesawah tuntut kad fleet

ABDUL Rashid Yob (tengah) bersama sebahagian pesawah dan pengusaha jentera pertanian pada sidang akhbar di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kajian dilakukan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendapati kenaikan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) kepada RM300 sehektar masih tidak memadai.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, meskipun berlaku penambahan sebanyak RM140, realiti yang dihadapi petani masih sama iaitu kenaikan kos operasi terutama melibatkan harga diesel.
Katanya, IPKP juga bukan penyelesaian sebenar untuk mengimbangi kos yang mencanak naik ekoran krisis tenaga global sekarang.

“Berdasarkan penelitian men­dalam dan rintihan daripada para pesawah di lapa­ngan, kami menegaskan bahawa penyelesaian yang ditawarkan adalah tidak memadai dan tidak bersifat menyeluruh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penambahan kepada RM300 per hektar untuk insentif pembajakan tidak memberi apa-apa makna kerana pengusaha-pengusaha jentera masih perlu membeli diesel pada harga semasa tanpa subsidi yang menyebabkan mereka menaikan kos upah kepada pesawah menjadi tinggi.

“Apatah lagi pembayarannya tidak konsisten sepertimana berlaku semasa penyasaran diesel dahulu apabila pengusaha dan pesawah terbeban kerana terpaksa menanggung kos sendiri sehingga bertunggak tiga musim ke musim lain,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Abdul Rashid berkata, pihaknya menuntut agar semua jenis jentera pertanian padi dimasukkan ke dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membolehkan pesawah memiliki kad fleet.

Katanya, mekanisme itu adalah langkah paling praktikal untuk memastikan subsidi sampai secara langsung kepada pengguna jentera di bendang.

“Saranan kami adalah wujudkan satu kumpulan baharu di bawah SKDS melibatkan jentera-jentera tanaman padi.

“Antaranya mesin padi, traktor pembajak, mesin pembajak kecil seperti jentani atau kubota serta pam air yang menggunakan diesel. Kami mohon permudahkan juga syarat bantuan subsidi diesel,” katanya.

Menurutnya, syarat-syarat ketat yang ditetapkan ketika ini dilihat hampir mustahil untuk dipenuhi oleh kebanyakan pesawah kecil berbanding dipermudahkan dengan pengesahan jentera yang lebih praktikal seperti pengesahan penghulu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau melalui kad subsidi.

Sementara itu, ujar beliau, penyelarasan harga lantai padi adalah penyelesaian jangka panjang kerana harga semasa RM1,500 per metrik tan sudah tidak lagi relevan.

“Kami cadang kerajaan naikkan harga lantai padi kepada RM3,000 per metrik tan. Ia perlu bagi membolehkan pesawah memperoleh margin keuntungan yang munasabah,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini