DEWAN NEGARA: Selaras kadar pemberian khas Sabah

DEWAN NEGARA: Selaras kadar pemberian khas Sabah bersamaan 40 peratus hasil negeri

ANIFAH Aman semasa membahaskan usul RUU Perbekalan 2024 di Dewan Negara hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Senator Tan Sri Anifah Aman menggesa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah mencari jalan penyelesaian bagi memastikan jumlah pemberian khas untuk negeri itu adalah selaras dengan kadar 40 peratus hasil negeri dikutip kerajaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Ahli Dewan Negara merangkap bekas Menteri Luar itu berkata, pengumuman RM300 juta pemberian khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Sabah dan diwarta pada 24 November lalu masih belum mencapai kadar 40 peratus daripada hasil negeri itu. 

“Kita tidak boleh lari dari isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Perjanjian ini wajar diberi perhatian serius dalam belanjawan ini. 

“Jadi, saya berharap Kerajaan Persekutuan dan negeri akan dapat mencari jalan agar bayaran ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan kerana isu ini sudah berlarutan sekian lama,” katanya semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Negara hari ini.  

Pada 29 November lalu, Anwar dilaporkan berkata, bayaran pemberian khas tahun 2023 pada kadar baharu sebanyak RM300 juta kepada negeri Sabah dan Sarawak disempurna dan diwartakan pada 24 November lalu. 

Katanya, Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak mencapai persetujuan untuk semakan kadar amaun pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa bermula tahun 2023 sebagai penyelesaian secara interim sementara proses memuktamad formula semakan pemberian khas bagi jangka panjang.

Penyelesaian secara interim itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63) yang berlangsung pada 20 Januari 2023 dan dibentangkan dalam Belanjawan 2024.

Persetujuan adalah meliputi perkara-perkara berikut:

(a) Kadar amaun pemberian khas baru bagi negeri Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM300 juta mulai 2023.

Kadar interim itu merupakan peningkatan kepada amaun yang sedang berkuat kuasa RM16 juta setahun bagi negeri Sarawak sejak tahun 1969 dan RM125.6 juta bagi negeri Sabah bagi tahun 2022 melalui semakan interim yang telah dilaksana untuk Sabah pada tahun 2022;

(b) Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak komited untuk meneruskan perundingan dan melaksana semakan semula kadar pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk memuktamad formula penentuan kadar pemberian yang telah diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan;

(c) Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak akan melaksanakan kajian semakan pemberian khas dengan mengambil kira pertimbangan keperluan kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak berhubung kos perkhidmatan negeri serta kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112D(2) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen Sabah dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat minggu lalu menuntut kerajaan menjelaskan formula pemberian khas yang digunakan kerana ia bukan berdasarkan kadar 40 peratus seperti yang dituntut sebelum ini. 

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau [PH-UPKO] berkata, isu pemberian khas itu juga harus dibahas dalam mesyuarat Dewan Rakyat kerana ia merupakan hal yang sensitif untuk rakyat Sabah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN