ATHENS: Mesej penipuan yang menjanjikan laluan selamat melalui Selat Hormuz sebagai balasan kepada pembayaran dalam mata wang kripto dilaporkan dihantar kepada beberapa syarikat perkapalan yang berdepan masalah kapal mereka masih terkandas di barat laluan tersebut.
Amerika Syarikat (AS) mengekalkan sekatan ke atas pelabuhan Iran, menyebabkan Teheran mengenakan semula sekatan ke atas Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima minyak dunia serta gas asli cecair.
Di tengah rundingan gencatan senjata, Teheran yang mengawal laluan sempit tersebut turut mencadangkan bayaran tol kepada kapal bagi membolehkan mereka melalui kawasan itu dengan selamat.
Firma pengurusan risiko maritim MARISKS pada Isnin mengeluarkan amaran kepada pemilik kapal, wujud pihak tidak dikenali mendakwa mewakili pihak berkuasa Iran menghantar mesej kepada beberapa syarikat perkapalan.
Mesej itu menuntut bayaran dalam bentuk mata wang kripto seperti Bitcoin atau Tether sebagai ‘kebenaran laluan’ melalui selat tanpa halangan pada waktu yang dipersetujui.
“Mesej-mesej ini adalah satu penipuan. Ia bukan dihantar oleh pihak berkuasa Iran,” kata firma itu.
Tiada maklum balas segera daripada Teheran mengenai isu itu. Ratusan kapal dan kira-kira 20,000 pelaut dilaporkan masih terkandas di Teluk.
Pada 18 April, apabila Iran membuka semula selat itu buat sementara dengan syarat pemeriksaan, beberapa kapal cuba melaluinya.
Namun sekurang-kurangnya dua daripadanya, termasuk sebuah kapal tangki melaporkan bot Iran melepaskan tembakan ke arah mereka, memaksa kapal tersebut berpatah balik.
MARISKS berkata, pihaknya percaya sekurang-kurangnya sebuah kapal yang cuba keluar dari selat itu pada Sabtu dan terkena tembakan mungkin menjadi mangsa penipuan tersebut.-AGENSI










