Dewan Negara: Reformasi undang-undang lain dilaksana secara

Dewan Negara: Reformasi undang-undang lain dilaksana secara berfasa 

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang giat mengatur dan mengorak pelbagai langkah ke arah reformasi perundangan lain yang akan dilaksana secara berfasa. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelaksanaan secara berfasa itu bertunjangkan konsep kesediaan menerima perubahan mengambil kira saranan pelbagai pihak dalam mencorak masa hadapan negara ini. 

“Selaras dengan teras strategik Malaysia Madani khususnya bagi menjamin kesejahteraan insan ditunjangi prinsip adil dan ihsan, kerajaan akan terus komited melaksanakan reformasi institusi yang substantif. 

“Kerajaan mengambil pelbagai langkah penambahbaikan berterusan termasuk melalui pindaan kepada perundangan sedia ada dalam memastikan kepentingan rakyat terus diutamakan,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dalam sidang Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Dr. Nuing Jeluing meminta kerajaan menyatakan reformasi institusi yang dilaksana setakat ini. 

Mengulas lanjut, Azalina berkata, antara reformasi institusi yang dilakukan ialah meminda Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676).

Selain itu, katanya, kerajaan memansuhkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), pewujudan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) selain memansuhkan seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menjenayahkan cubaan membunuh diri melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2 ) 2023. 

“Kerajaan juga meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360), pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Bantuan Guaman (Fi dan Sumbangan) 2017 dan memartabat prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan pentadbiran dalam Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2020 dan Laporan Ketua Audit Negara (KLAN) 2021 Siri 2. 

“Kerajaan juga membentang Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2023 dan bacaan kali pertama RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 dan bacaan kali kedua dan ketiga dijangka dibuat dalam mesyuarat Parlimen akan datang,” katanya. 

Disebalik pembaharuan yang dilaksana kerajaan, masih banyak reformasi undang-undang menjadi tuntutan awam sejak sekian lama.

Bagaimanapun, ia belum dimasukkan dalam senarai aturan mesyuarat Dewan Rakyat antaranya RUU Ombudsman Malaysia; RUU berkaitan pendanaan politik; RUU Perkhidmatan Parlimen; pengasingan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya; RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan RUU Majlis Media. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN