KUALA LUMPUR: Kira-kira 650 taman asuhan kanak-kanak (taska) masih belum berdaftar dan tidak beroperasi secara sah setakat 4 Disember 2023.
Ini setelah sebanyak 430 taska daripada jumlah 1,080 taska yang tidak berdaftar pada Jun lalu mematuhi syarat-syarat dan didaftarkan untuk membolehkan mereka beroperasi dengan sah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihak kementerian sedang melaksanakan langkah pemutihan bagi membantu taska mematuhi syarat dan seterusnya berdaftar.
“Kita berikan khidmat nasihat, kita bantu mereka untuk mematuhi syarat-syarat oleh agensi teknikal iaitu Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berkuasa tempatan dan apabila mereka memenuhi semua syarat, kita daftarkan mereka secara sah.
“Untuk perkara ini, kita bekerjasama dengan ketiga-tiga agensi teknikal di setiap negeri melalui pusat khidmat setempat bagi membincangkan isu berkaitan pendaftaran taska dan mempercepatkan proses pendaftaran,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga agar menghantar anak-anak ke taska yang berdaftar kerana pengoperasian taska tertakluk kepada syarat dan peraturan demi memastikan ia dioperasikan mengikut amalan terbaik.
“Kita juga mohon kerjasama semua pihak terutamanya ibu bapa dan penjaga sendiri agar melaporkan taska yang tidak berdaftar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat demi keselamatan anak-anak kita.
“Bukan bermakna jika dilaporkan, taska tersebut akan ditutup dan akan menyulitkan ibu bapa. Tetapi kita perlu melihat dari sudut pandang yang lebih luas iaitu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini demi kesejahteraan dan keselamatan anak-anak kita,” katanya.
Katanya lagi, antara perkara yang dilaksanakan untuk memastikan pematuhan syarat dan undang-undang dalam mengoperasikan taska adalah garis panduan khas terhadap taska atau pusat jagaan dalam siasatan polis yang baru dikuatkuasakan pada 10 April 2023.
“Garis panduan ini dikeluarkan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil bagi kes-kes yang melibatkan taska dan pusat jagaan yang dalam siasatan polis kerana disyaki terdapat kes penderaan, pengabaian, mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak, penghuni atau orang yang diterima untuk jagaan yang berlaku di premis tersebut,” katanya. -UTUSAN










