MAT Ripin telah dibebaskan. Selama 15 tahun dia menjadi penghuni penjara. Selama itu dia merasai getirnya kehidupan seorang banduan. Tetapi kerana rekodnya bersih semasa menjalani hukuman, dia dibebaskan empat tahun lebih awal.
Dia telah dimaklumkan oleh pegawai penjara seminggu lalu. Dan perkhabaran itu sememangnya tidak disangka-sangka. Dia tidak menduga berita yang menggembirakan itu menjelma sebaik dia selesai makan pagi.
Dalam tempoh seminggu itulah Mat Ripin menjadi manusia yang gembira dibaluti kedukaan. Gembira kerana dibebaskan, tetapi berduka di saat memikirkan nasibnya setelah dibebaskan nanti.
Ke mana dia akan membawa diri untuk meneruskan kehidupan? Kepada siapa lagi tempat dia bergantung harap? Pekerjaan apakah yang mampu dilaksanakan nanti? Di rimba manakah dia akan menyambung sisa-sisa usianya nanti?
Emak dan ayah telah lama pergi menghadap Tuhan. Harapkan isteri? Sudah lama berpisah, setelah setahun dia berada di dalam jel. Kesemua adik-beradik membuang dia jauh-jauh. Abang Razak? Semasa dia belum disumbat ke dalam penjara pun tidak pernah bertegur sapa. Krisis besar telah berlaku antara mereka berdua.
Begitu juga Kak Nik Jenab. Kakaknya juga meminggirkan dia. Apa lagi adik bongsunya Mek Ani. Dia bergantung harap kepada suaminya seratus peratus. Mat Ripin tidak menyalahkan adik bongsunya itu.
Mat Ripin masih ingat kata-kata abang sulungnya Razak.
“Mu ni Ripin, bukan manusia. Nasihat adik-beradik tak hirau. Keluarga kau nak buat musuh. Semua jiran sekampung kamu berbalah. Kau nak tunjuk pada siapa perangai jahat kau?”
Sejak hari itu Mat Ripin tidak lagi bertegur sapa. Mat Ripin tetap mempertahankan kebenarannya. Dia tidak bersalah. Yang bersalah, abangnya. Abangnya berat sebelah dalam pembahagian harta pusaka.
“Tanah ini tanah pusaka. Saya inginkan hak saya. Saya inginkan bahagian saya.” Mat Ripin bertegas.
Perebutan tanah pusaka enam hektar itu menggegar seluruh Kampung Tanjung Tualang. Tetapi penduduk kampung tidak terkejut. Mereka semua sudah maklum perangai Mat Ripin anak arwah Haji Kolid dan Hajah Semah. Mereka memang cukup mengenali siapa Mat Ripin. Sejak zaman remaja lagi dia memang keras kepala. Dia Pemalas dan kaki gaduh.
Perbalahan Mat Ripin dengan abangnya bukan setakat itu. Dia akhirnya bertindak di luar kewarasan. Kesemua pokok getah tua milik arwah ayahnya dijual. Kemudian pokok-pokok itu ditebang untuk dijadikan perabot. Tidak siapa berani membantah ketika batang getah itu diangkut dengan lori dari kebun ke kilang perabot ke pekan terdekat.
Abang sulungnya kemudian melaporkan perbuatan itu kepada polis. Bertolak dari laporan itulah Mat Ripin ditangkap. Mat Ripin didakwa dan mahkamah mendapati dia bersalah. Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.
Semasa di dalam penjaralah baru Mat Ripin insaf dan sedar, semua perbuatannya itu salah dari segi undang-undang. Dia tidak sepatutnya bertindak begitu. Harta itu harta pusaka mereka empat beradik.
Tetapi kekesalan itu tidak membawa erti. Ketika itu dia hanya mengejar wang semata-mata. Dia memutuskan tali ikatan persaudaraan. Semuanya telah terlambat.
Dia telah menjadi penghuni pagar besi. Terkurung dan terhukum.
Cara terbaik untuk menebus semua kesalahan dan dosanya kepada adik-beradik, secara senyap-senyap Mat Ripin membina keinsafan dalam diri. Semua peraturan dalam penjara dia patuhi. Semua aktiviti kerohanian dia ikuti. Semua kelas fardu ain dan al-Quran dia ikuti. Dia tidak pernah ponteng solat berjemaah. Dia membina kepatuhan yang tinggi.
Ketika dalam penjara dia hanya mempunyai satu tekad. Menjadi manusia yang baik bila dibebaskan pada suatu hari nanti. Justeru bila pihak penjara menawarkan kursus kemahiran Mat Ripin tidak menolak. Mat Ripin belajar sungguh-sungguh, biarpun sebelum ini dia pemalas.
Pihak penjara menyediakan banyak pilihan kursus dan latihan kepada penghuninya. Ada latihan untuk bengkel jahitan, pertukangan kayu, ukiran, membuat batik, bidang pertanian, ternakan ikan air tawar, kraftangan, dobi, tenunan serta pembuatan sos cili dan kicap.
Lama juga Mat Ripin berfikir sebelum dia memutuskan untuk memilih belajar ukiran. Ukiran pula terbahagi kepada ukiran perabot kayu dan ukiran bahan terpakai. Dan Mat Ripin memilih untuk ukiran perabot kayu dan bahan terpakai. Dia mempunyai satu misi.
‘Jika aku keluar nanti, aku boleh mengukir banir-banir pohon tembusu yang banyak terbuang di kampung halaman untuk dijadikan perabot serta hiasan rumah.’
Mulai hari pertama Mat Ripin belajar menjadi pengukir paling tekun di penjara. Dia tidak lagi memikirkan dia seorang tahanan atas tuduhan-tuduhan menceroboh, mencuri dan memusnahkan tanaman. Mat Ripin meletakkan dirinya ketika ini sebagai pekerja.
Bermula dari 8 pagi hingga 3 petang dia bekerja untuk masa depan. Dia merasakan semua kerja dan latihan yang diterima adalah tanggungjawab.
Apa yang dia nampak, bidang ukiran perabot ini mempunyai masa depan bila dia keluar dari penjara nanti. Dia tidak boleh mengharapkan adik-beradik. Dia perlu membaiki segala kerosakan yang telah dia buat selama ini. Dia perlu membayar harga yang mahal kepada adik-beradik dan orang kampung atas kesilapan masa lalu.
Berbekalkan gergaji, kapak, pahat, kikir, pisau, kertas pasir Mat Ripin menumpukan kerja hariannya.
Pada awalnya, Mat Ripin mengukir kerusi dan meja biasa, sebelum setahun kemudian ia diamanahkan oleh pegawai penjara untuk menyiapkan ukiran sebuah meja makan yang mampu muat untuk lapan orang. Pada awalnya Mat Ripin ragu-ragu, tetapi kata-kata semangat daripada pegawai latihan penjara, Mat Ripin akhirnya menerima cabaran itu.
Setiap selesai solat dia tidak putus-putus berdoa semoga kerja yang diamanahkan kepadanya itu dapat disiapkan dengan sempurna. Mat Ripin tahu, itulah titik tolak masa depannya. Dia tidak pernah terfikir dia sebenarnya mampu memegang tukul, gergaji, pahat, kertas pasir dan pisau. Semua ini tidak pernah dia sentuh ketika hidup di kampung dahulu.
“Jika awak boleh siapkan kerja-kerja ini dalam masa satu bulan, bererti selepas ini awak mampu berdikari.”
Mat Ripin menerima cabaran Koperal Juhadi dengan penuh tanggungjawab. Dia berkerja sepenuh hati. Jika boleh dia tidak mahu menyerahkan semua peralatan mengukir. Jika boleh dia akan bekerja siang dan malam. Tetapi peraturan tidak membolehkan dia berbuat demikian. Kerja seorang banduan di penjara hanya sehingga pukul 3 petang sahaja. Semua peralatan perlu diserah kembali ke stor tanpa tercicir walaupun sebilah jarum.
Masuk minggu ketiga kerja mengukir set meja makan siap sepenuhnya. Dalam tempoh seminggu terakhir kerja mengosok permukaan kayu mengunakan tiga jenis kertas pasir serta kerja mengecat lapisan permulaan selesai. Setelah cat kering, permukaan ukiran digosok lagi dengan kertas pasir paling halus sebelum kerja-kerja mengecat lapisan kedua dibuat.
Seminggu selepas itu, hari terbuka penjara diadakan. Selama seminggu ruang pameran penjara jadi tumpuan. Ramai pengunjung datang. Hati Mat Ripin mula berdebar-debar. Apakah hasil kerja tangannya memikat hati pembeli atau sebaliknya?
Hari pertama para tetamu memenuhi ruang pameran. Banyak hasil tenunan, batek, kraftangan, makanan kering terjual. Para penghuni penjara melonjak kegembiraan. Hari kedua dan ketiga terus berlalu seperti hari pertama. Hati Mat Ripin terus berombak. Meja makan kayu cengal ukirannya masih berada di tengah-tengah ruang pameran.
Hari terakhir pameran Mat Ripin tidak berada di situ. Tetapi sehari selepas pameran semua penghuni dikerah mengemas dewan. Mat Ripin melangkah longlai. Dadanya berdebar-debar. Timbul pelbagai persoalan. Kenapa meja yang ditempah tidak dibeli ?
“Mat Ripin.” Suara garau Koperal Juhadi mengejutkan khayalannya.
“Tahniah, hasil kerja awal telah dibeli dengan harga RM5,000.”
Mat Ripin terpinga-pinga. Dia terkejut. Dia memandang keseluruhan dewan pameran. Memang betul meja makan ukiran tebuk timbul bermotif daun-daun telah tiada di situ. Dia benar-benar ingin memeluk Koperal Juhadi. Tetapi dia tidak dibolehkan berbuat demikian. Dia sedar dia hanya banduan.
Malam itu, di dalam sel untuk sekian kalinya dia solat hajat. Dia solat sujud syukur. Sekurang-kurangnya hasil jualan perabot tersebut dapat disimpan untuk bekalan semasa dibebaskan nanti.
Setelah menurunkan tanda tangan pembebasan dan menerima wang hasil kerja dalam tahanan, menerima pakaian dan kad pengenalan Mat Ripin melangkah keluar pintu penjara. Langkahnya gementar. Dia kehilangan suara. Ketika banduan lain disambut keluarga masing-masing, Mat Ripin hanya disapa angin kering di luar penjara.
Dia melangkah longlai. Ketika sebuah bas berhenti dia cepat-cepat melompat naik. Apakah orang tahu aku ini banduan? Apakah dimuka aku tercop wajah penjara?
“Encik hendak ke mana.” Tanya pemandu bas.
“Kampung Tanjung Tualang.”
“RM3.”
Mat Ripin membuka sampul putih berlogo Jabatan Penjara. Selesai membayar tambang dia melabuhkan punggung ke kusyen paling belakang. Sepanjang perjalanan itu Mat Ripin tidak menoleh kepada sesiapa. Fikirannya tertumpu untuk sampai ke kampung. Dia akan membina bangsal kecil di tebing Sungai Kusar.
Tanah itu milik kerajaan. Dia akan membina pondok kecil dari perdu buluh yang tumbuh merimbun di tebing sungai.
Dari bangsal kecil itu dia akan mencari banir-banir dan tunggul tembusu dan teras pokok cengal. Masih terbayang tunggul tembusu yang berselerakan. Setiap kali musim kemarau, batang-batang cengal bergelimpangan di dalam sungai. Dia akan menghambakan diri sebagai seorang pengukir.
Dia tidak akan mengganggu lagi Abang Razak, Kak Nik Jenab dan adik bongsunya Mek Ani.
Penjara telah cukup mengajarnya erti keinsafan. Penjara juga meluruskan jalan hidupnya yang dahulunya berliku. Wang RM5,000 yang terkumpul akan dia manfaatkan sebaik mungkin sebagai modal perniagaannya.
Bas berhenti betul-betul di hadapan kedai Mak Da Jimah. Mat Ripin melangkah turun dari tangga bas, hanya dia seorang turun di situ. Wajah Kampung Tanjung Tualang banyak berubah. Sebahagian besar kedai kayu bertukar menjadi bangunan batu.
Dalam terpinga-pinga mencari tempat berteduh di bawah pohon tanjung, Mat Ripin berpaling ke arah Sungai Kusar. Dia amat terkejut.
‘Ke mana hilangnya tebing sungai. Semua sudah dibina benteng konkrit? Ke mana hilangnya pokok-pokok buluh? Tentunya tunggul-tunggul tembusu dan batang cengal telah tiada. Keseluruhan kawasan itu telah terbina bangunan dan rumah kediaman.’
‘Aku akan ke mana? Apakah Abang Razak masih menerima aku lagi?’
Mat Ripin merasakan tiba-tiba matanya berpinar-pinar.-UTUSAN