Bimbang tak mampu tarik nada tinggi macam dulu - Fauziah Latiff - Utusan Malaysia

Bimbang tak mampu tarik nada tinggi macam dulu – Fauziah Latiff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MAHU saya buat konsert? Beri saya enam bulan!”

Itu antara ayat spontan yang terpacul keluar daripada mulut penyanyi bertaraf legenda ini ketika diaju pertanyaan mengenai hasratnya untuk menghadiahkan peminat dengan sebuah konsert.

Ya, mana tahu, suatu hari nanti hajat peminat untuk melihat dan menonton sebuah persembahan bertaraf konsert oleh satu-satunya Fauziah Latiff di negara ini akhirnya termakbul, ia pasti akan menjadi antara konsert yang paling dinanti-nantikan.

Bukan apa, sejak sekian lama, dari zaman Fauziah bujang, sudah berkahwin, dan kembali solo, siapa sahaja dalam kalangan penganjur tanah air yang tidak mahu mempelawanya untuk mengadakan konsert.

Barangkali kalau dihitung, sudah berpuluh orang yang menawarkan peluang itu. Namun, tiada satu pun daripada mereka yang benar-benar berjaya membuka pintu hati Fauziah untuk berkata iya.

Sebegitu kuat prinsip Fauziah. Jika dia berkata tidak atau belum bersedia, maka itulah yang harus dituruti ramai.

Mengiyakan perkara itu, penyanyi berusia 53 tahun ini mengakui, sebenarnya dia merupakan seorang individu yang sangat cerewet terutama apabila membabitkan kerjaya seni.

“Saya akui, bukan tak ada yang datang ‘meminang’ saya untuk mengadakan konsert, tetapi saya yang kata tak mahu. Sebabnya, belum benar-benar bersedia.

“Saya ini seorang yang sangat cerewet. Bukan senang nak buat sesebuah konsert, banyak yang perlu diambil kira dan saya tak mahu sekadar sambil lewa atau buat konsert tangkap muat semata.

“Tak nak orang kata sekadar ada. Itu bukan cara saya,”katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui dalam sebuah acara di ibu negara, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, jelas Fauziah, sebagai anak seni, dia tidak melihat dirinya sebagai cuma seorang penyanyi atau pelakon, tetapi lebih selesa meletakkan diri sebagai seorang penghibur.

Malah, katanya, jika ditanya kepada mana-mana artis terutama penyanyi, siapa sahaja yang tidak pernah mengimpikan untuk mempunyai sebuah konsert yang hebat.

“Kalau Allah SWT izinkan, siapa saja yang tak nak buat konsert bukan? Mana-mana penghibur akan cakap mahu, tipulah kalau cakap tak nak.

“Tetapi buat konsert bukan sekadar untuk berseronok ya. Kena fikir tanggungjawab yang digalas. Kita sebagai penghibur, tentunya tak mahu mengecewakan peminat. Kita mesti nak orang yang datang akan pulang dengan sesuatu yang istinewa dan dikenang sepanjang hayat.

“Kalau saya sendiri tahu bahawa diri tak bersedia lagi nak buat persembahan, tak akanlah saya nak ambil risiko itu? Bagi saya, kalau betul nak buat, kena buat betul-betul.

“Bukan tujuh lapan lagu sahaja nyanyi dan kemudian awak gelarkan itu sebagai konsert,”katanya.

Bukan mahu saingi sesiapa

Mengakui bahawa itu adalah apa yang difikirkannya dahulu, bagaimanapun, kata Fauziah, pintu hatinya kini sedikit demi sedikit telah mula terbuka untuk meneliti beberapa tawaran daripada pihak tertentu untuk dirinya mengadakan sebuah konsert khas buat peminat.

Sedar bahawa mungkin tindakannya itu akan menjadi pertikaian ramai, terutama apabila melihat kini satu persatu artis seakan berlumba-lumba mahu mengadakan konsert, Fauziah sda sebab tersendiri.

“Apabila saya katakan bahawa kini sudah terbuka hati nak buat konsert, itu tidak bermakna saya terburu-buru nak buat hanya kerana rasa tersaingi bila melihat artis lain ramai yang adakan konsert.

“Kalau betul saya fikir begitu, sudah lama sepatutnya saya dah buat konsert. Apa yang boleh saya beritahu, ya memang ada yang bertanya dan Insya-Allah, saya rancang untuk merealisasikannya sekitar pertengahan tahun hadapan.

“Sebab itu saya minta supaya berikan masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk saya menyediakan diri. Sudah begitu lama tak menyanyi pada persembahan berskala besar, saya semestinya kena buat persiapan yang sangat rapi,”katanya.

Pun begitu, penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dan Dia ini awal-awal memberi ‘amaran’ secara usikan bahawa peminat harus bersedia untuk tidak meletakkan harapan besar untuk melihat dia mampu menyanyikan lagu-lagunya yang bernada tinggi sama seperti tiga dekad yang lalu.

“Saya tahu, kalau buat persembahan, tentunya peminat akan minta dan nak dengar lagu-lagu lama saya. Kalau siapa yang tahu, lagu-lagu hits saya banyak juga yang bernada tinggi.

“Memandangkan usia saya pun bukan lagi 20-an, saya harap peminat pun tak letak jangkaan tinggi lah untuk saya bawa lagu sama macam dulu-dulu. Kakau tak lepas nyanyi, boleh gigit jari saya nanti.

“Mungkin untuk konsert itu kelak, akan kita buat sedikit penyesuaian dari segi susunan lagu dan sebagainya. Saya akan cuba sedaya upaya yang boleh.

“Itu sebab saya nak betul-betul jalani latihan intensif untuk vokal dan persembahan. Saya pun tak naklah menyanyi berdiri saja di depan orang, kena ada elemen seorang penghibur itu,”katanya.

Bagaimanapun, Fauziah ketika ditanya Utusan Malaysia, mengakui, masih belum bersedia untuk memaklumkan butiran mengenai perancangannya untuk mengadakan konsert tersebut secara terperinci.

Menurut penyanyi ini, dia bimbang seandainya perancangan itu tidak berjalan dengan baik di pertengahan jalan sekali gus mengelak daripada membuatkan peminat-peminatnya berasa hampa.

“Nanti apabila sudah benar-benar ada waktu yang sesuai dan semuanya mula bergerak sebagaimana yang dirancang, baharulah saya akan umumkan mengenai perkara itu.

“Buat masa sekarang kita sekadar berkongsi cerita sahaja dulu. Saya harap peminat pun dapat doakan saya diberikan kesihatan yang baik supaya dapat melaksanakan hasrat tersebut,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya