Berbaloikah Anak Perjanjian Syaitan 2? - Utusan Malaysia

Berbaloikah Anak Perjanjian Syaitan 2?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA waktu dulu, saya pernah mempunyai seorang kawan yang mempunyai ‘pendamping’. Ada masa-masanya dia akan kerasukan. Pernah suatu hari, semasa kerasukan, dia memanggil nama saya dengan suara garau. 

Saya ingat tatapannya, renungan, caranya ketawa yang ngeri di hadapan saya. Oleh itu, ketika Dr. Ahmad Idham hadir dengan naskhah Anak Perjanjian Syaitan 2 dan membawakan Eyka Farhana sebagai peneraju utama, saya tidak sengaja sedikit teliti menghakimi adakah emosi lakonan Eyka akan sampai kepada saya di kerusi penonton. 

Saya boleh katakan, untuk cubaan pertama kali, lakonan Eyka agak menjadi walau saya tahu dia sebenarnya berpotensi memberikan lebih banyak lagi emosi dan aksi. 

Ahmad Idham bijak memilih pelakon untuk filem ini dari Eyka Farhana, Fasha Sandha, Azlan Komeng sehinggalah Alif Satar. Itu kejayaan pertamanya dalam menghasilkan Anak Perjanjian Syaitan 2. 

Kesemua pelakon yang disebutkan tadi sangat selesa menyarungkan karakter masing-masing termasuklah watak tambahan seorang gadis yang dirasuk di pusat tahfiz yang tidak sempat saya tanya namanya. 

Namun begitu, saya merasakan ada beberapa karakter yang tidak cukup kukuh dan sempurna dibangunkan seperti Ustazah Jamilah yang hanya boleh mengucapkan perkataan ‘Allahuakbar’ dan ‘Astaghfirullah’ semasa ingin menghalau syaitan. 

Sebagai seorang ustazah, bukankah secara logik dia sepatutnya boleh membaca ayat kursi atau setidaknya surah pendek yang lain? 

Begitu juga dengan beberapa dialog yang sebenarnya agak kaku dan kedengaran seperti teks tazkirah Jumaat dalam perbualan antara Bonda Wiwin dan Pak Dollah. 

Pengarah juga cuma memasukkan elemen romantis dengan kisah cinta Islamik antara Azlinda dan Ustaz Taha. 

Namun sayangnya, babak mereka tidak begitu mengesankan dan terasa dipaksa-paksa. Saya juga tidak boleh menafikan bahawa sepanjang menonton filem ini, sinematografi yang dipersembahkan agak lusuh termasuklah dari pergerakan kamera serta kedudukan watak di dalam bingkai. 

Namun yang lebih mustahak adalah skor muzik ala-ala drama pukul 10 slot Samarinda. Sebenarnya, saya percaya, ada beberapa babak yang lebih hidup dan menangkap walau hanya melontar dialog tanpa perlu skor muzik yang mendayu-dayu atau keterlaluan. Contohnya, babak ketika Azlinda dan Ustazah Jamilah di dalam kereta. 

USAHA AHMAD IDHAM DIPUJI 

Walaupun teknik jungkir balik dalam filem ini tidak begitu kemas. Namun ia mempunyai struktur cerita yang jelas dari act 1 hingga act 3. 

Oleh itu, walaupun ia tidak memberi kepuasan dari aspek visual dan keseraman, ia berjalan lancar dan tidak membuat mengantuk. 

Namun begitu, di sebalik cadangan dan kelompongan yang saya utarakan dalam tulisan ini, saya juga memuji Anak Perjanjian Syaitan 2 yang tidak dibikin dengan sambil lewa. 

Saya melihat bagaimana Ahmad Idham bermain dengan banyak elemen di tanah kubur juga aksi letupan di sebuah filem seram. Satu cubaan menampilkan kerencaman dan memancing perhatian. 

Anak Perjanjian Syaitan 2 akan mula menemui penonton pada 4 Januari tahun hadapan.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.