KUALA TERENGGANU: Tempahan bilik penginapan di kebanyakan hotel di Terengganu merudum sehingga 20 peratus selepas kejadian gelombang pertama banjir di negeri ini, minggu lalu.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, kadar purata tempahan bilik penginapan kebanyakan hotel di Terengganu sebelum berlakunya banjir ialah 40 peratus.
Bagaimanapun, beliau berkata, difahamkan kadar tempahan Disember merosot 20 peratus malah terdapat hampir 10 peratus pembatalan tempahan sebaik sahaja Terengganu dilanda banjir gelombang pertama baru-baru ini.
“Kebanyakannya beri alasan bimbang dengan kemungkinan berlakunya banjir gelombang kedua sewaktu mereka bercuti di Terengganu.
“Namun ada juga yang masih meneruskan tempahan kerana terikat dengan komitmen kerja dan urusan keluarga seperti majlis perkahwinan di Terengganu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ketika ini, terdapat 35 ope rator hotel yang bernaung di Terengganu termasuk di pulau-pulau peranginan.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Monsun Timur Laut yang bermula November hingga Mac depan akan menyebabkan beberapa siri episod hujan yang berisiko menyebabkan banjir terutama di kawasan pinggir sungai, laut dan kawasan rendah yang lain.
Mengulas lanjut, Suaibah berkata, pihaknya tetap optimis kadar tempahan akan meningkat menjelang cuti persekolahan yang akan bermula minggu depan. “Tambahan pula, kerajaan negeri telah melakukan promosi percutian tengkujuh iaitu ‘Jom Maing Hujang’ untuk menarik kedatangan pelancong seperti yang dilaksanakan di daerah Setiu.
“Kita juga memberi penerangan bahawa banjir tidak melanda semua tempat dan masih banyak lagi lokasi pelancongan yang boleh dikunjungi di sekitar Terengganu ketika ini seperti Pasar Kedai Payang, Muzium Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal dan pembuatan batik,” katanya. –UTUSAN










