Banjir meruncing, enam negeri 'tenggelam'

Banjir meruncing, enam negeri ‘tenggelam’

PENDUDUK kampung, Abdullah Syafie, 77, meredah banjir menaiki perahu untuk pulang melihat keadaan rumahnya selepas dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Matang. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Situasi banjir di negara ini terus meruncing apabila dua lagi negeri iaitu Johor dan Sabah turut terjejas akibat bencana itu menjadikan jumlah mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 6 petang semalam seramai 26,487 orang.

Berbanding hari sebelumnya, jumlah mangsa dipindahkan ke PPS di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor adalah seramai 25,654 orang.

Semua mangsa yang terdiri daripada 8,158 keluarga itu ditempatkan di 146 PPS yang diaktifkan di keenam-enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor dan Sabah.

Berdasarkan kemas kini portal bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), situasi banjir di Kelantan semakin memburuk apabila sebanyak 64 PPS diaktifkan bagi menempatkan seramai 19,0062 mangsa yang terdiri daripada 6,080 keluarga berbanding 15,147 orang pada hari sebelumnya.

Lima daerah terjejas di negeri tersebut iaitu Kuala Krai, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Gua Musang.

Di Terengganu, situasi banjir dilihat sedikit mereda apabila jumlah mangsa dipindahkan ke 71 PPS di seluruh negeri menurun kepada 7,002 orang berbanding 10,199 orang pada hari sebelumnya.

Jumlah tersebut merangkumi 1,967 keluarga di tujuh daerah iaitu Besut, Marang, Setiu, Dungun, Kuala Terengganu, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Sementara itu, di Pahang, keadaan banjir dalam keadaan terkawal setakat ini dengan hanya empat PPS dibuka untuk menempatkan seramai 114 mangsa membabitkan 33 keluarga.

Bagaimanapun, dilaporkan terdapat kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang yang mengakibatkan 87 mangsa dipindahkan ke satu PPS di kawasan tersebut.

Keadaan banjir di Johor dan Sabah juga masih terkawal dengan masing-masing membuka tiga PPS membabitkan 108 dan 173 mangsa, manakala Selangor kekal dengan satu PPS di Kuala Langat melibatkan empat sekeluarga.

Sementara itu, sebanyak 14 sungai di Pahang, Kelantan dan Terengganu mencatatkan bacaan paras air melebihi tahap bahaya setakat pukul 6.30 petang semalam.

Daripada jumlah itu, sembilan sungai di Pahang mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Sungai Tembeling di Kampung Merting, Sungai Pahang di Kuala Krau, Sungai Luit di Kampung Subuh, Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Sungai Pahang di Paloh Inai, Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia dan Sungai Rompin di Jambatan Kuantan – Segamat.

Di Kelantan, terdapat empat sungai mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Kuala Besar, manakala di Terengganu sungai terlibat adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau serta Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN