MIAMI: Aksi tempat ketiga Piala Dunia 2026 antara Perancis dan England di Stadium Hard Rock, tetap menjanjikan tarikan tersendiri, memandangkan ia bakal menjadi pentas terakhir Didier Deschamps mengemudi Les Bleus selepas menerajui pasukan itu sejak 2012.
Selepas impian untuk menjulang trofi Piala Dunia musnah di pentas separuh akhir apabila tewas 0-2 kepada Sepanyol, Perancis kini memiliki peluang terakhir bagi menutup kempen dengan kemenangan dan sekurang-kurangnya membawa pulang sedikit kegembiraan.
Biarpun sekadar penentuan tempat ketiga, perlawanan ini tetap membawa nilai sentimental yang besar buat Deschamps, ia bakal menjadi aksi terakhir pengendali berusia 57 tahun itu selepas 14 tahun menerajui skuad kebangsaan Perancis dengan pelbagai nota kejayaan.
Sejak mengambil alih pasukan pada 2012, Deschamps berjaya mengembalikan status Perancis sebagai kuasa utama bola sepak dunia.
Kemuncaknya hadir apabila beliau membawa Les Bleus menjulang Piala Dunia 2018 di Russia sebelum muncul naib juara pada edisi 2022 di Qatar.
Lebih mengagumkan, Perancis berjaya mara ke separuh akhir dalam tiga edisi Piala Dunia berturut-turut di bawah kendaliannya, satu pencapaian yang membuktikan konsistensi dan keupayaannya mengekalkan pasukan di kelompok elit dunia.
“Sudah tentu kami kecewa kerana gagal mencapai sasaran utama untuk beraksi di final. Namun kami masih mempunyai satu lagi perlawanan dan kami mahu menamatkan kejohanan ini dengan keputusan positif.
“Memakai jersi Perancis sentiasa membawa tanggungjawab besar. Tidak kira sama ada final atau perebutan tempat ketiga, kami perlu memberikan segala-galanya di atas padang dan menghormati pertandingan ini.
“Saya berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh pasukan sepanjang tempoh ini. Kami sudah melalui banyak detik hebat bersama dan saya mahu perlawanan terakhir (menentang England) ini menjadi satu lagi kenangan indah buat semua pemain serta penyokong Perancis,” katanya.
Dengan kedudukan ketiga menjadi sasaran terakhir, Deschamps dijangka melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama bagi memberi peluang kepada pemain yang kurang beraksi sepanjang kejohanan.-AGENSI










