Banjir kilat berlaku dalam tempoh yang singkat - penduduk

Banjir kilat berlaku dalam tempoh yang singkat – penduduk

PPS dibuka di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Johor Bahru bagi menempatkan penduduk Kampung Sentosa Damai, Pasir Gudang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG : Penduduk Kampung Sentosa Damai, di sini terpaksa meninggalkan rumah masing-masing akibat banjir kilat yang menyebabkan paras air naik hampir satu meter dalam tempoh beberapa jam sahaja tengah malam tadi.

Penduduk, Zainab Mat, 57, berkata, dia mula panik setelah air sungai berhampiran serta parit depan rumah melimpah dan mengalir deras disebabkan hujan lebat yang berlarutan hampir tiga jam.

Katanya, pihak keselamatan mengarahkan kami berpindah segera ke surau berdekatan sebelum ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kampung ini setelah melihat hujan berterusan.

“Saya dan keluarga sempat menyelamatkan dokumen penting dan memindahkan pakaian serta beberapa barangan elektrik seperti peti ais, televisyen dan mesin baauh ke tempat yang lebih tinggi dalam rumah,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru di sini hari ini

Zainab merupakan seorang daripada 227 mangsa banjir melibatkan 80 keluarga yang dipindahkan ke PPS itu pada malam tadi.

Suri rumah itu berkata, tindakan penduduk kampung itu yang menjalankan gotong-royong membersihkan parit beberapa hari lalu berjaya elak banjir menjadi lebih buruk.

“Mujurlah penduduk kampung ambil inisiatif membersihkan parit, Jika tidak keadaan banjir kilat akan bertambah buruk dan tidak mustahil air akan naik lebih tinggi,” katanya.

Ibu tunggal, Nurul Huda Abdul Rani, 57, bersyukur kerana semasa hujan lebat tidak berlaku air pasang dari kawasan laut di Kong Kong yang boleh menyebabkan banjir bertambah teruk sehingga menenggelamkan rumah.

“Apabila hujan kira-kira 10 malam tadi, saya mula rasa tak sedap hati dan menelefon anak lelaki yang sedang bekerja supaya balik ke rumah. Air mula naik hampir separuh meter atau separas lutut di bahagian dapur,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, hanya bahagian dapur sahaja dinaiki air setelah bahagian rumah lain berada di kedudukan tinggi selepas ditambak beberapa tahun dahulu.

“Tindakan menambak rumah dibuat setelah banjir kilat merosakkan perabot, perkakas rumah serta peralatan elektrik rosak sebelum ini. Pernah beli barang rumah selepas banjir, belum sempat habis bayar rosak lagi apabila dinaiki air,” katanya.

Rahayu Supriyanto, 34, berkata, penduduk kampung itu bersedia pada bila-bila masa untuk mengosongkan rumah setiap kali musim tengkujuh dengan berjaga pada sebelah malam supaya sentiasa peka keadaan semasa.

“Almari pakaian dan beberapa perkakas tidak sempat diselamatkan ke tempat tinggi. Punca banjir di kampung ini kerana sungai cetek dan parit kecil tidak dapat menampung kapasiti air,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya