Baik pulih, naik taraf segera kemudahan taman negara Johor

Baik pulih, naik taraf segera kemudahan taman negara Johor

Pulau kukup adalah antara taman negara di Johor yang memerlukan pembaikan infrastruktur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) akan melaksanakan segera kerja membaik pulih dan menaik taraf semua kemudahan dan infrastruktur di semua produk kendaliannya.

Pengarahnya, Taufik Bahar berkata, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri menerusi Belanjawan Johor 2024 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini akan digunakan untuk meningkatkan semua kemudahan yang ada bagi memberi keselesaan kepada orang ramai dan pengunjung.

“Saya ingin mengucapkan teri­ma kasih kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar kerana memberi peruntukan yang amat kami harapkan ini untuk meningkatkan lagi kemudahan dan infrastruktur di semua produk yang menjadi tumpuan orang ramai di bawah kendalian PTNJ.

“Insya-Allah, kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf semua kemudahan itu akan dilaksanakan segera bermula awal tahun depan.

“Kita mahu supaya semua kemudahan dan infrastruktur tersebut dilaksanakan bagi memberikan keselesaan kepada para pengunjung, khususnya menjelang Tahun Melawat Johor 2026 seperti yang diumumkan Menteri Besar semasa pembentangan Belanjawan Johor 2024 baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, antara peruntukan tersebut adalah sebanyak RM2.8 juta untuk menaik taraf dan membina canopy roof di Kompleks Pelawat Air Terjun Gunung Ledang, RM2 juta untuk menaik taraf Kompleks Pelawat Taman Negara Johor Endau-Rompin Peta dan RM1.2 juta bagi menaik taraf dan membina laman ketibaan di Taman Negara Johor Tanjung Piai serta RM600,000 menaik taraf sistem pembetungan dan membina laluan pendakian di Taman Negara Johor Gunung Ledang. Selain peruntukan kerajaan negeri, PTNJ turut menerima peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membina dan menaik taraf kemudahan yang ada.

“Peruntukan sebanyak RM20 juta diberikan, antaranya untuk menaik taraf jeti utama dan Jambatan Sungai Ular di Taman Negara Johor Pulau Kukup,” katanya.

Taufik berkata, apabila semua kerja membina dan menaik taraf kemudian itu siap kelak, ia akan memberi lebih keselesaan kepada para pengunjung.

“Insya-Allah, dengan kehadiran lebih ramai pengunjung, sama ada domestik dan luar negara, sekali gus dapat membantu merancakkan lagi sektor pelancongan serta ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Beliau optimis, sasaran untuk menarik seramai 12 juta pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026 ke semua produk pelancongan di negeri ini mampu dicapai. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya