PETALING JAYA: Konflik Palestin-Israel dapat diselesaikan secara aman dan bertahan lama apabila ASEAN dan Jepun dapat memainkan peranan penting dalam kalangan komuniti global bagi merealisasikannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua negara anggota ASEAN dan Jepun telah mengundi untuk resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Kata beliau, semua negara anggota dan Jepun menyokong gencatan senjata kemanusiaan dapat dilakukan segera, selain daripada bantuan kemanusiaan dan juga pembebasan tebusan dapat dilakukan.
“Seterusnya kita perlu bekerjasama ke arah memastikan tuntutan ini direalisasikan,” katanya seperti dipetik Bernama.
Perdana Menteri turut menyifatkan kemusnahan yang dilakukan Israel di Gaza, Palestin adalah sama seperti peristiwa lalu yang dihadapi oleh Jepun semasa Perang Dunia ke-2 iaitu pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.
Terdahulu, media melaporkan, konflik antara timur tengah yang tercetus pada 7 November lalu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap rakyat Palestin apabila kehilangan ahli keluarga, nyawa dan tempat perlindungan akibat kerakusan serta kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis.
Anwar mengadakan lawatan kerja ke Jepun selama lima hari untuk menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.
Sidang kemuncak peringatan itu dijangka memperakukan Kenyataan Wawasan Bersama dan Pelan Pelaksanaannya yang akan menjadi dokumen-dokumen panduan untuk melakar hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Jepun untuk masa hadapan.
Selain daripada Anwar, pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain turut menzahirkan perkara sama dalam ucapan mereka iaitu kebimbangan terhadap Gaza dan keperluan untuk gencatan senjata segera dilakukan.
Antara pemimpin-pemimpin tersebut adalah Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.
Anwar berkata, oleh kerana polikrisis global yang berterusan dan kerumitan yang semakin meningkat dalam persekitaran perkumpulan dengan 10 ahli menjadikan kerjasama ASEAN-Jepun mempunyai peranan lebih penting.
Jelasnya, ASEAN berusaha memastikan rantau tersebut kekal aman dan stabil, tidak mengabaikan ancaman keselamatan dari mana-mana bahagian daripada dunia.
Beliau berkata, dunia sudah pun menyaksikan marginalisasi sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi mengabaikan undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan. Penting untuk ASEAN dan Jepun bekerjasama dengan negara-negara yang berpandangan sama, untuk mengukuhkan multilateralisme dan mendukung peraturan berasaskan kepada undang-undang.
“Kesan terhadap kerosakan dalam Orde Dunia ini ke atas kita terlalu menakutkan untuk difikirkan,” katanya. – UTUSAN










