KUALA LUMPUR: Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) bagi memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya ditangguhkan sehingga selepas cadangan pindaan itu dipersembahkan untuk makluman Majlis Raja-Raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah berkenaan dibuat sebagai menghormati institusi Raja Berperlembagaan dan memastikan proses pindaan dilaksanakan secara berhemah.
“Kerajaan bercadang untuk menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja mengenai cadangan pindaan lanjut yang dibawa pada hari ini. Langkah ini diambil sebagai satu penghormatan Institusi Raja Berperlembagaan dan memastikan proses reformasi ini dilaksanakan secara tertib dan berhemah selaras Perlembagaan negara.
“Kerajaan bercadang untuk meneruskan prosiding untuk bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga RUU Perlembagaan termasuk perbahasan dan proses membuat keputusan mengenainya pada mesyuarat Dewan Rakyat berikutnya selepas Majlis Raja-Raja dipersembah maklum mengenai cadangan pindaan tersebut.
“Menurut Peraturan Mesyuarat 62 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya memohon supaya prosiding bacaan kali kedua RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 ditangguhkan dan diteruskan pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Tambah Azalina, penangguhan itu mengambil kira pelbagai pandangan dan maklum balas yang diterima daripada Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan sejak RUU dibentangkan.
Katanya, semua pandangan tersebut perlu diberi pertimbangan sewajarnya memandangkan reformasi berkenaan mempunyai kepentingan besar terhadap sistem perundangan dan keadilan negara.
“Mengambil kira kepentingan reformasi ini kepada sistem perundangan dan keadilan negara, kerajaan berpandangan segala pandangan tersebut wajar diberi pertimbangan sewajarnya sebelum RUU ini dibawa semula ke Dewan ini,” katanya.
RUU berkenaan sebelum ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Februari lalu, namun menerima pelbagai pandangan serta bantahan daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Susulan itu, RUU tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penelitian lanjut sebelum beberapa cadangan pindaan baharu dirangka selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
Bagi memastikan RUU berkenaan diluluskan, ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen iaitu majoriti dua pertiga daripada keseluruhan 222 ahli Dewan Rakyat.-UTUSAN










