KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand terus menunjukkan komitmen memperkukuh kerjasama pertahanan bagi mendepani cabaran keselamatan serantau serta mempromosikan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.
Komitmen itu ditegaskan dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pertahanan Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen dalam lawatan pengenalannya semalam.
Mohamed Khaled turut mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya serta menyatakan keyakinan terhadap kejayaan berterusan negara itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul.
Menurut Mohamed Khaled, Thailand merupakan antara negara jiran penting kepada Malaysia dan hubungan rapat dalam bidang pertahanan perlu terus diperkukuhkan.
“Sebagai sebuah negara jiran, kita perlu mempunyai hubungan yang rapat dan akrab, lebih-lebih lagi dalam bidang pertahanan kerana kita berkongsi pelbagai cabaran yang sama.
“Thailand juga seperti Malaysia merupakan negara anggota ASEAN yang perlu memastikan prinsip ASEAN sentiasa didukung bagi memastikan kawasan ini terus aman dan stabil,” katanya kepada pemberita selepas selesai lawatan pengenalan semalam.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Thailand.
Beliau berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk menyegerakan MoU berkenaan supaya dapat ditandatangani tahun ini bagi meningkatkan kerjasama sektor pertahanan.
Katanya, antara perkara yang diberi penekanan menerusi MoU itu ialah kerjasama dalam membangunkan industri pertahanan tempatan.
Dalam pada itu, kedua-dua menteri turut membincangkan kerjasama kawalan sempadan menerusi General Border Committee (GBC) Meeting antara Malaysia dan Thailand yang telah wujud sejak 1978.
Katanya, Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat GBC kali ke-57 tahun ini yang dijangka membincangkan keselamatan sempadan, operasi bersama angkatan tentera, pembangunan sosioekonomi di kawasan sempadan serta penyelarasan pengurusan bencana.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Malaysia mengalu-alukan pelantikan Ketua Dialog Keamanan di Selatan Thailand, Thanut Suvarnanandadan dan berharap usaha membawa keamanan serta kestabilan di wilayah berkenaan dapat diteruskan dengan sokongan penuh negara ini.
“Kita juga mengalu-alukan keamanan yang berterusan dan kurangnya konflik atau ketegangan di antara Thailand dengan Kemboja dan Thailand juga mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan isu ini secara bilateral,” katanya.
Katanya, kementerian terus mengalu-alukan penyertaan pegawai tentera Thailand dalam Program Malaysian Defence Cooperation (MDCP) menerusi pelbagai program dan kursus yang disediakan bagi memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
“MDCP merupakan antara usaha kita untuk mempertingkatkan pendekatan diplomasi pertahanan, selain memberi peluang kepada pegawai tentera Thailand meningkatkan profesionalisme, membina jaringan dan mengenali pegawai tentera Malaysia serta negara sahabat lain,” katanya.
Turut dibincangkan ialah kehadiran Malaysia dan Thailand dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM Plus) di Filipina.-UTUSAN










