PETALING JAYA: Pakar pengangkutan kargo udara, Sin-Kung Logistics Berhad (SinKung Logistics) jalin kerjasama strategik dengan Airport Authority Hong Kong (AAHK) bagi meneroka peluang baharu dalam pembangunan industri kargo udara serantau.
Kerjasama menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang menyediakan rangka kerja kepada kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam mengenal pasti peluang pembangunan kargo, meningkatkan kecekapan operasi menerusi pendigitalan serta memperkukuh kesalinghubungan rangkaian kargo udara di rantau ini.
Melalui kerjasama itu, Sin-Kung Logistics dan AAHK akan meneliti potensi pembangunan penyelesaian logistik multimodal, memperkukuh rangkaian kargo serta meningkatkan kecekapan operasi dengan memanfaatkan kepakaran dan keupayaan masing-masing.
Kedua-dua pihak juga akan mengenal pasti inisiatif yang menyokong integrasi rantaian bekalan serantau bagi memenuhi keperluan perdagangan antarabangsa yang semakin berkembang.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sin-Kung Logistics, Alan Ong berkata, kerjasama itu merupakan satu lagi langkah strategik syarikat dalam memperkukuh kehadiran serantaunya serta mengembangkan keupayaan dalam sektor pengangkutan kargo udara.
“MoU ini menyediakan platform untuk kami bekerjasama rapat dengan AAHK dalam meneroka peluang yang dapat menyokong pembangunan industri kargo udara serantau serta memperkukuh hubungan antara hab-hab kargo utama.
“Seiring pertumbuhan perdagangan rentas sempadan dan rantaian bekalan yang semakin saling berkait, kami yakin kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan nilai kepada pelanggan serta menyokong pertumbuhan perdagangan serantau,” katanya dalam kenyataan.
AAHK ialah badan berkanun yang bertanggungjawab mengendalikan serta membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA), yang merupakan hab kargo udara terbesar dan paling sibuk di dunia.
Beliau berkata, HKIA mempunyai rangkaian global yang luas serta infrastruktur kargo bertaraf dunia, sekali gus melengkapkan kepakaran Sin-Kung Logistics dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo udara.
“Gabungan kekuatan kedua-dua pihak dijangka dapat meningkatkan keupayaan perkhidmatan, memperluaskan rangkaian serantau dan menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat,” ujarnya.
Alan berkata, kerjasama itu juga sejajar dengan komitmen Sin-Kung Logistics untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pakar pengangkutan kargo udara yang dipercayai, selain memanfaatkan pertumbuhan perdagangan serantau serta permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian logistik bersepadu di Asia.
Tambahnya, MoU berkenaan berkuat kuasa serta-merta selepas ditandatangani dan sah untuk tempoh awal dua tahun sebagai platform kepada kedua-dua pihak meneroka peluang pembangunan kargo udara serta memperkukuh kesalinghubungan rangkaian kargo di rantau ini. – UTUSAN










