PETALING JAYA: Seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Khamis lalu daripada pertuduhan membantu ahli jenayah terancang Geng Otong.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan demikian terhadap Mohd. Ariff Mustafa, 58, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan dan lelaki tersebut tidak perlu membela diri.
Pada 2020, Mohd. Ariff antara antara enam anggota keselamatan yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan membantu ahli jenayah terancang Geng Otong.
Mereka didakwa membantu ahli kumpulan jenayah Geng Otong antara 28 September 2017 dan April 2020.
Ketika itu, pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Hakim Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan bergantung kepada panggilan telefon antara lelaki itu dan saksi pendakwaan kesembilan bagi mengaitkan pertuduhan membantu Geng Otong dan mahkamah berpendapat panggilan telefon tertera pada empat ekshibit tidak dapat membuktikan pada Mac dan April 2020 bahawa dia ada menyalurkan maklumat operasi.
Selain itu katanya, mahkamah merujuk kepada ucapan pembukaan pendakwaan yang menyatakan lelaki berkenaan terlibat dalam penyeludupan aktiviti migran sedangkan keterangan tiga saksi langsung tidak mendedahkan penglibatan anggota polis tersebut.
“Berdasarkan alasan-alasan ini, mahkamah ini berpendapat pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie atas pertuduhan pindaan. Mahkamah ini berpendapat sekadar mengesyaki tertuduh membantu Geng Otong tidak mencukupi di mata undang-undang,” katanya dalam penghakiman tersebut.
Polis pada tahun 2020 dilaporkan berjaya menumpaskan sepenuhnya kegiatan penyeludupan migran terbesar di negara ini dengan melumpuhkan tiga sindiket penyeludupan utama menerusi Op Benteng: Covid-19 di Johor, Perak dan Pulau Pinang.
Pada 2 Julai lalu, 51 orang termasuk 25 warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang yang mendalangi sindiket penyeludupan pendatang asing sejak 2015 hingga tahun ini.
Anggota sindiket penyeludupan manusia tersebut membabitkan tekong darat, ejen, penjaga rumah penampungan transit selain transporter. – UTUSAN