‘Alhamdulillah Kak Long sudah pulang’

‘Alhamdulillah Kak Long sudah pulang’

SITI Mariah (tengah) memeluk kedua ibu bapanya, Che Safuan Abd. Rahman dan Hamzah Said selepas mereka bertemu semula di Kampung Sireh, Kuala Nerang di Padang Terap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG: Kerinduan sepasang suami isteri, Hamzah Said, 65, dan Che Safuan Abd. Rahman, 61, terhadap anak perempuan mereka yang menghilangkan diri sejak lapan tahun lalu kini terlerai.

Ianya selepas Siti Mariah Hamzah, 38, atau dipanggil Kak Long pulang ke pangkuan keluarganya itu pada pukul 12 tengah hari tadi dan disambut dengan suasana penuh kesayuan.

Menurut Siti Mariah, kepulangannya bukan sekadar melepaskan kerinduan sejak sekian lama tetapi membawa sejuta pengharapan untuk kehidupan baharu yang diidam-idamkan selepas ini bersama keluarganya.

“Ada banyak yang ingin saya perbetulkan selepas ini. Moga Allah permudahkan segala urusan saya. Saya minta maaf banyak-banyak kepada mak dan ayah kerana sudah lama tak balik, memang rindu sangat-sangat.

“Inilah tempat saya dilahirkan, bermain semasa membesar yang memang sangat dirindui. Saya nak mulakan hidup baharu, terima kasih kepada semua yang tolong cari saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Sireh, hari ini.

Pada 21 November lalu, akhbar ini melaporkan tentang rayuan seorang ibu kepada anak sulungnya supaya segera pulang selepas lapan tahun menghilangkan diri tanpa berita.

Siti Mariah yang merupakan graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam bidang kaunseling dikatakan hilang selepas bekerja di sebuah bank secara kontrak di ibu negara.

 Sementara itu, Siti Mariah yang tidak bercakap banyak dilihat sesekali memeluk kedua-dua ibu bapanya sekali gus membayangkan kerinduan masing-masing.

Wanita itu yang kini menetap di Labu, Negeri Sembilan menaruh harapan untuk memulakan kehidupan dan melupakan semua kisah yang berlaku sebelum ini.

Dalam pada itu menurut Che Safuan, tiada kata-kata untuk menggambarkan perasaan mereka apabila anak yang dirindui sejak sekian lama akhirnya pulang.

“Alhamdulillah terubat rindu rasanya. Hari ini saya buat laksa kegemaran dia. Bila sampai tadi kami terus berpeluk bagi melepaskan rindu.

“Apabila anak di depan mata semua jadi seronok, macam hilang beban dan kerinduan yang saya rasa setiap hari sebelum ini sejak dia menghilangkan diri,” katanya.

Bagi Hamzah yang juga seorang penoreh getah pula, mereka enggan lagi memperkatakan apa yang terjadi sebelum ini.

“Alhamdulillah, apa yang penting Kak Long sudah balik. Bila sampai rumah tadi kami berpelukan dan Kak Long mencium dan memohon ampun maaf kepada kami berdua,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya