LONDON: Pengendali England, Thomas Tuchel tidak berselindung mengenai sasaran pasukannya menjelang Piala Dunia 2026 apabila menegaskan The Three Lions memiliki segala ramuan untuk menjulang trofi paling berprestij itu buat kali pertama sejak 1966.
Jurulatih dari Jerman itu berkata, keyakinan tersebut bukan sekadar retorik, sebaliknya lahir daripada komitmen tinggi yang dipamerkan pemain sepanjang siri persiapan intensif yang sedang dijalankan di Amerika Syarikat.
Menurut Tuchel, suasana dalam kem England ketika ini cukup positif dengan kesemua pemain menunjukkan kesungguhan luar biasa untuk memburu kejayaan di pentas dunia.
“Saya dapat melihat semangat dan kesatuan yang sangat kuat dalam pasukan ini. Malah, pemain yang tidak terpilih juga terus memberikan sokongan kepada skuad.
“Itu menunjukkan mereka benar-benar percaya dengan apa yang sedang kami bina dan ia memberi keyakinan tambahan kepada saya,” katanya.
Sebagai sebahagian persiapan menghadapi kejohanan yang bakal berlangsung di Amerika Utara, seramai 21 daripada 26 pemain England kini menjalani kem latihan selama 10 hari di West Palm Beach, Florida.
Langkah itu dirancang lebih awal oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) bersama pasukan sains sukan bagi membiasakan pemain dengan cuaca panas dan kelembapan tinggi yang dijangka menjadi cabaran utama sepanjang kejohanan.
Malah, FA turut membina kemudahan simulasi haba di Barcelona bagi membantu pemain menyesuaikan diri dengan suhu melebihi 30 darjah celcius dan kelembapan sekitar 75 peratus.
Tuchel bagaimanapun menegaskan cuaca tidak boleh dijadikan alasan sekiranya England gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Kami tahu keadaan itu bukan sesuatu yang ideal, tetapi kami sudah membuat persediaan terperinci. Setiap pemain dipantau dan kami mempunyai pelan pemulihan serta strategi penyejukan yang khusus,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, empat pemain Arsenal iaitu Bukayo Saka, Declan Rice, Noni Madueke dan Eberechi Eze diberikan rehat tambahan selepas terbabit dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah, manakala penjaga gol, Dean Henderson dijangka melaporkan diri sedikit lewat.
England akan menguji kekuatan New Zealand dalam aksi persahabatan di Tampa pada Sabtu sebelum berdepan Costa Rica di Orlando.
Skuad kendalian Tuchel itu kemudian memulakan cabaran Kumpulan L Piala Dunia 2026 dengan menentang Croatia di Arlington, Texas pada 17 Jun depan. – AGENSI.
KAPSYEN: Jangkaan skuad utama England di pentas Piala Dunia 2026 yang bermula pada 11 Jun ini.- AFP










