KOTA BHARU: Sebahagian struktur dinding dewan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) yang merupakan sebuah bangunan milik Pas di Pengkalan Chepa di sini, terbakar dalam kejadian malam tadi.
Kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu melibatkan kawasan dinding bangunan seluas 37.16 meter persegi.
Penyelia PUTIK, Raja Roslan Raja Yaacob berkata, kejadian tersebut disedarinya selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan yang bertugas di pusat berkenaan.
Menurutnya, dia segera menghubungi pihak bomba sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran itu hanya melibatkan kawasan dinding dan tidak merebak ke bahagian lain bangunan.
“Punca kejadian dipercayai akibat litar pintas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Pegawai Kanan II Fadhely Zakaria berkata, seramai 20 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.13 malam.
Katanya, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebahagian dinding dewan dengan keluasan kira-kira 37.16 meter persegi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 10.31 malam dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya dalam tempoh lapan minit,” ujarnya.-UTUSAN









