BRUXELLES: Kesatuan Eropah (EU) bakal memperkenalkan langkah baharu untuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi Amerika Syarikat (AS) dan Asia, serta mengutamakan alternatif digital buatan Eropah.
Pelan tersebut berisiko menimbulkan ketegangan dengan AS, yang sebelum ini membantah keras tindakan EU mengenakan denda dan peraturan terhadap syarikat teknologi Washington.
Dalam tempoh setahun lalu, blok itu mempergiatkan usaha untuk meningkatkan pengeluaran domestik dalam pelbagai sektor, serta mengejar pesaing AS dan China.
Pesuruhjaya Teknologi EU, Henna Virkkunen akan memperkenalkan pakej baharu ‘kedaulatan teknologi’ di Brussels, termasuk peraturan baharu berkaitan cip, pengkomputeran awam dan kecerdasan buatan (AI).
Matlamatnya adalah untuk membina ekosistem digital yang memastikan Eropah mengekalkan kawalan terhadap perkhidmatan dan data, serta mengurangkan risiko campur tangan asing.
Brussels bimbang kelemahan strategiknya semakin terserlah selepas krisis cip dan unsur nadir bumi dengan China tahun lalu, selain kebimbangan Presiden, Donald Trump akan menyekat akses EU kepada perkhidmatan pengkomputeran awam AS melalui mekanisme ‘suis bunuh’.
Dalam draf strategi yang dilihat AFP, EU berkata, blok itu bergantung kepada pembekal asing bagi lebih 80 peratus produk digital, perkhidmatan, infrastruktur dan harta intelek, berdasarkan laporan rasmi 2023.
Namun, EU menegaskan usaha tersebut bukan bertujuan untuk menutup akses kepada penyedia luar, sebaliknya untuk memperkukuh industri Eropah serta memastikan blok itu kekal bersaing dalam perlumbaan AI.
Perkhidmatan pengkomputeran awam didominasi oleh platform AS, dengan tiga terbesar, Microsoft Azure, Amazon Web Services dan Google Cloud menguasai kira-kira 70 peratus pasaran Eropah.
EU dianggarkan membelanja 264 bilion euro (RM1.2 trilion) setiap tahun untuk perkhidmatan awan dari AS, menurut laporan 2025 oleh firma perunding Perancis, Asteres.
Brussels juga dijangka mengenakan kriteria kedaulatan dalam kontrak awam bagi sektor awan dan AI, selain mahu mewajibkan kerajaan melakukan penilaian ‘risiko kedaulatan’ bagi mengenal pasti penyedia Eropah yang sesuai apabila diperlukan.- AFP










