Akauntan dibunuh: Polis tahan dua rakan bantu siasatan

Akauntan dibunuh: Polis tahan dua rakan bantu siasatan

ZAM HALIM JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang akauntan yang mayatnya ditemukan dalam keadaan tanpa seurat benang di tepi jalan Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kedua-dua suspek yang juga rakan mangsa ditahan di sekitar ibu negara dan Selangor, semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun adalah rakan kepada mangsa.

“Kedua-dua suspek kini direman sehingga 18 Disember ini untuk membantu siasatan polis.

“Buat masa ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti di manakah lokasi mangsa dibunuh sebelum mayatnya ditemukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian akibat pelbagai kecederaan kesan hentakan benda tumpul di beberapa bahagian tubuhnya.

Mengenai motif pembunuhan, Zam Halim berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis.

Media melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dipercayai dibunuh berdekatan Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di sini.

Zam Halim dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan mayat berkenaan oleh orang awam kira-kira pukul 6 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras dan Forensik IPK Kuala Lumpur kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Pemeriksaan mendapati mayat mangsa dalam keadaan tidak berpakaian serta berkedudukan meniarap di tepi jalan selain mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan.

Siasatan lanjut mendapati mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dan bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN