PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga kanak-kanak autistik berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Beliau mendoakan semoga ahli keluarga Zayn tabah menghadapi ujian itu dan menerima ketentuan ilahi.
“Semalam, usai pulang daripada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, saya membaca perkhabaran duka tentang kanak-kanak autistik berusia enam tahun, anak syurga Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang sejak selasa ditemukan dalam keadaan meninggal dunia di sebuah sungai, berhampiran lokasi hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai.
“Difahamkan bahawa usaha pencarian dilakukan oleh pasukan polis, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Anjing Pengesan (K9) dan penduduk setempat.
“Salam takziah dari saya buat seluruh ahli keluarga Zayn Rayyan. Semoga mereka tabah menghadapi ujian ini dan menerima ketentuan ilahi,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Zayn Rayyan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9 Kota Damansara selepas proses bedah siasat selesai. -UTUSAN










