Adik maut, abang cedera parah motosikal bertembung kereta

Adik maut, abang cedera parah motosikal bertembung kereta

KEADAAN motosikal yang ditunggangi Norsarizad bersama abangnya mengalami kerosakan dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 30, Jalan Lipis - Sungai Koyan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS : Seorang penunggang motosikal lelaki Orang Asli berusia 19 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 30, Jalan Lipis – Sungai Koyan berdekatan Kampung Sungai Ular dekat sini.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam semalam, mangsa, Norsarizad Nordin beralamat di Kampung Chekai, Pos Betau cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Abang mangsa yang membonceng motosikal, Norzarisal Nordin, 20, mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan lanjut apabila motosikal mereka bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kancil.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang Norsarizad terbabas lalu terbalik.

“Motosikal mangsa kemudiannya masuk ke arah laluan bertentangan lalu bertembung dan diseret kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Klinik Desa Kampung Bertang, Kuala Lipis.

Menurut Azli, pemandu kereta tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila penunggang motosikal gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis  untuk dibedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN