Achey Bocey kesal pelawak dianak tiri, dibayar rendah

Achey Bocey kesal pelawak dianak tiri, dibayar rendah

Mohd. Nasir Hamzah atau Achey
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Achey Bocey meluahkan rasa kesal terhadap layanan sebelah mata yang diterima golongan pelawak di negara ini.

Achey atau Mohd. Nasir Hamzah, 37, berkata, peluang dan platform untuk golongan tersebut menunjukkan kebolehan terhad berbanding penggiat seni lain.

“Pelawak, lebih-lebih lagi yang baharu berdepan kekangan dan kesukaran untuk menunjukkan bakat. Bayangkan, tahun lepas, hanya ada satu program pertandingan lawak dibuat dan itu pun anjuran stesen berbayar.

“Sampai bila kami nak dianggap wujud dalam pertandingan sahaja. Kami faham, rating siaran ‘mencanak’ semasa pertandingan. Kemudian, seterusnya apa?

“Itu pun hanya selepas pemenang pertandingan tersebut diumumkan barulah mereka diberikan peluang muncul dalam program sendiri yang hanya bersiaran empat episod,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Achey dalam masa yang sama memaklumkan kadar bayaran yang diterima pelawak juga terlalu rendah jika dibandingkan dengan jumlah diterima penyanyi.

“Isu pelawak dibayar rendah ini bukan cakap-cakap kosong kerana saya sendiri mengalaminya ketika menyertai sebuah rancangan hiburan yang membayar pelawak dengan kadar paling rendah berbanding artis lain.

“Bayaran yang diberikan tidak setimpal dengan usaha kerana kami juga berhempas-pulas menghasilkan idea persembahan sehingga terpaksa bersengkang mata, korbankan waktu tidur semata-mata untuk itu,” kongsinya.

Sependapat dengan Achey, Sharif Kadir daripada kumpulan Zero tidak menafikan kadar bayaran yang diberikan kepada pelawak adalah sangat tidak berbaloi dengan hasil kerja yang mereka persembahkan.

“Saya selalu terima bayaran rendah dan tidak berbaloi. Kerana itu, saya hanya terima tawaran yang benar-benar setimpal dengan kerja yang saya berikan.

“Peluang untuk kami mencari pendapatan dengan membuat persembahan juga semakin terhad apabila program-program lawak di televisyen semakin berkurangan. Demi kekal relevan, kami tiada pilihan selain terpaksa terima apa sahaja tawaran meskipun ia datang daripada stesen TV berlainan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN