Andartu pelihara anak angkat dikategori ibu tunggal - Utusan Malaysia

Andartu pelihara anak angkat dikategori ibu tunggal

MALIAMAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Golongan wanita berusia lewat yang masih belum berkahwin atau andartu berpendapatan rendah dan ada memelihara anak angkat kini termasuk dalam kategori ibu tunggal di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, ketika ini terdapat 43,471 ibu tunggal yang berdaftar di Terengganu termasuk golongan andartu yang berpendapatan rendah dan memelihara anak angkat.

Menurutnya, daripada jumlah itu, daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi iaitu 11,026 orang diikuti Besut (6,880 orang), Kemaman (5,107) dan Dungun (4,927).

“Di Kuala Nerus pula terdapat 4,858 ibu tunggal, Marang (4,714), Hulu Terengganu (3,328) dan Setiu (2,631).

“Memang ada berlaku pertambahan jumlah ibu tunggal, namun bukanlah disebabkan perceraian dan kematian semata-mata, sebaliknya takrifan ibu tunggal itu sendiri termasuk golongan wanita andartu yang diperincikan tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Maliaman berkata, bagi golongan andartu asnaf fisabilillah, bantuan akan disalurkan dibawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengikut kriteria yang ditetapkan.

Selain itu, katanya bantuan juga disalurkan kepada golongan andartu yang susah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Biasanya istilah andartu untuk wanita berusia 35 tahun atau 40 tahun ke atas yang masih belum berkahwin. Saya sebenarnya nak sebut andartu rasa sensitif sikit atas beberapa faktor.

“Jadi bagi golongan ini yang ada pelihara anak angkat, kita (kerajaan) daftar sebagai ibu tunggal untuk diberi bantuan selayaknya jika berpendapatan rendah.

“Untuk mereka yang tidak memelihara anak angkat pula, kita tidak kategorikan mereka sebagai ibu tunggal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya