PEJAM celik tanpa kita sedari, laungan slogan 3R – mengurangkan, guna semula dan kitar semula sudah mencapai usia 30 tahun. Malah, tanggal 11 November saban tahun disambut Hari Kitar Semula Kebangsaan.
Jika dilihat dari mata kasar, sudah banyak kempen kitar semula yang gah diuar-uarkan untuk menjadi santapan minda masyarakat. Lambakan usaha murni institusi berwajib dan tidak berkepentingan yang berganding bahu, masa dan tenaga untuk menyedarkan di segenap lapisan masyarakat terhadap kepentingan isu kitar semula dan agenda pengurusan sisa pepejal domestik di negara ini. Tambahan pula, tema kitar semula sering menjadi sebahagian tema utama dalam seminar atau persidangan penyelidikan penghasilan produk daripada bahan buangan.
Malah, budaya inovatif ini telah pun diterapkan dalam sistem pendidikan negara dengan tujuan mengubah atau mengolah menjadi produk bernilai untuk digunakan semula dan menjadi salah satu punca pendapatan hakiki atau sampingan dalam mendepani isu kos kehidupan. Apatah lagi, terdapat beberapa kerjasama dengan negara luar seperti China dan Sweden dalam projek sisa kepada tenaga.
Namun, apa yang harus kita bimbangkan apabila merujuk kepada hasil laporan 2022 oleh Pusat Kajian Alam Sekitar dan Kebangsaan (NECC), Malaysia bakal berdepan masalah serius berkaitan kadar penghasilan sisa pepejal domestik yang menghampiri peningkatan 1.5 kali ganda menjelang 2050. Ketika ini, negara menghasilkan purata 40,000 tan sehari.
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSN) yang mempunyai 165 tapak pelupusan sampah, lapan tapak pelupusan sanitari dan tiga tapak pelupusan lengai untuk bahan seperti pasir dan konkrit sebagai hab sisa buangan setakat 2022 merekodkan sisa pepejal perbandaran (MSW) dilupus setiap hari bersamaan 1.17 kilogram per kapita sehari dengan sisa makanan adalah komponen utama, diikuti plastik, kertas, organik campuran dan kayu.
Tapak pelupusan sampah juga mencetuskan ancaman persekitaran terbesar, iaitu penghasilan gas rumah hijau (GHG) seperti karbon dioksida dan metana merupakan sumber utama pemanasan global. Natijah negatif kepada negara sekiranya tidak dikawal selia pembuangan sisa pepejal domestik ini, maka pasti akan berlaku pencemaran kepada hidupan akuatik di kawasan sungai mahupun laut.
Namun, kita mampu menarik nafas lega apabila semakin rancak langkah-langkah proaktif diambil demi menyemarakkan lagi aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menginginkan Malaysia menjadi sebuah negara berdaya cipta. Oleh itu, penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal pada 7 September lalu terlihat wajar dan tepat pada waktunya untuk memastikan kewujudan persekitaran dan infrastruktur bagi merangsang kreativiti dan galakan penghasilan sistem, produk, idea dan proses yang lebih berdaya saing.
Impak positif pelan tindakan kitaran bagi sisa pepejal secara holistik nasional ini dijangka mengambil masa 30 ke 50 tahun lagi untuk dirasai segenap lapisan masyarakat.
Pelan ini memanifestasikan ekonomi kitaran merupakan tunjang kepada strategi untuk mencapai neutralisasi karbon dalam garapan keseluruhan konsep 9R – menolak, memikirkan semula, mengurangkan, mengguna semula, membaiki, memperbaharui, mengilang semula, guna semula dan memulih.
Negara amat mengharapkan kebolehlaksanaan membangunkan loji jana kuasa teknologi projek sisa kepada tenaga (WtE) melalui pelaburan-pelaburan firma dalam dan luar negara. Loji Tenaga Boleh Baharu (TBB) terbesar terletak di Bukit Tagar Enviro Park (BTEP), Hulu Selangor. BTEP merupakan loji TBB daripada gas tapak pelupusan mula beroperasi April 2005. Loji BTEP mampu menukarkan gas metana daripada sisa pepejal kepada TBB dalam kiraan 339 juta kilowatt-jam (kWj) tenaga elektrik disalurkan ke grid nasional.
Hasil tenaga ini 2.7 juta tan karbon dapat dikurangkan di bawah skim Mekanisme Pembangunan Bersih, bersamaan 43.6 juta penanaman anak pokok dalam masa 10 tahun, pengurangan penggunaan 296 juta liter petrol dan pengurangan 570,000 kereta dipandu dalam setahun.
Justeru, rakyat amat mendambakan pelaksanaan polisi secepat mungkin di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membangunkan sekurang-kurangnya satu fasiliti pengurusan sisa pepejal berkonsepkan WtE di setiap negeri sebagai kaedah merawat sisa pepejal dan pada masa sama menjana TBB. Malah, pembinaan loji WtE atau insinerator di tapak pelupusan sampah setiap negeri merupakan langkah paling mampan dalam tadbir urus sisa pepejal walaupun kos menelan belanja ratusan juta ringgit.
Pujian harus diberikan kepada kerajaan negeri Melaka kerana idea bernas menggesa Southern Waste Management (SWM) Environment melaksanakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan sistem pembuangan sisa pepejal dibangunkan di setiap kawasan Parlimen. Pada 30 Mei lalu, Melaka mempunyai sebuah pusat pandu lalu kitar semula, KITARecycle dirasmikan Ketua Menteri. KITARecycle ini julung kalinya diwujudkan sebagai kaedah melestarikan aktiviti kitar semula sisa pepejal menjadi lebih terancang, bersistematik serta mampu dimanfaatkan penduduk.
Kelestarian pengurusan sisa pepejal hanya dapat dicapai sekiranya kerjasama semua pihak dapat diselarikan. Kita sendiri (individu) sebagai ahli masyarakat perlu proaktif dalam mempelajari ilmu dan kemahiran pengasingan dan pengurusan sisa di rumah. Contohnya, sisa makanan dibungkus rapi dan amalan berjimat cermat dapat mengurangkan penghasilan sisa pepejal setiap hari.
Saat ini, terdapat beberapa kawasan perumahan mempunyai pengurusan sisa pepejal lebih terurus dengan penyediaan tong berasingan berdasarkan jenis sampah dan jadual pungutan. Malah, kajian menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat sememangnya tinggi mengenai isi kitar semula. Namun, tahap aplikasinya kita harus resahkan. Resah dek kerana bukan tidak tahu tetapi tidak ambil peduli dan anggapan biarlah orang lain yang buat, nanti boleh buat.
Kedua, penguat kuasa menggunakan kuasa mutlak untuk mengheret organisasi tidak bertanggungjawab dalam pelupusan secara haram. Sekiranya undang-undang tidak dapat dikuatkuasakan, maka punah segala usaha memelihara alam sekitar dan keberkesanan kempen kitar semula menjadi seperti melepaskan batuk di tangga.
Ketiga, kempen dan fasiliti infrakstruktur perlu seiring. PBT wajib menyediakan infrastruktur dan sumber mencukupi seperti tong sisa dan tempat kitar semula yang boleh dan mudah diakses oleh segenap lapisan masyarakat dalam dan luar bandar.
Persoalan sejenak dalam benak, adakah masyarakat kita terutama generasi Z bersedia menerapkan konsep 9R dalam jiwa sanubari mereka? Tepuk dada tanya selera. – UTUSAN
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.










