23 penduduk terperangkap banjir diselamatkan

23 penduduk terperangkap banjir diselamatkan

ANGGOTA bomba bertindak menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Paya Kenanga, Tebrau, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 23 penduduk Kampung Paya Kenanga, Tebrau, di sini yang terperangkap di rumah masing-masing ketika banjir berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor, awal pagi hari ini.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Noor Azhan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.43 pagi daripada penduduk kampung terbabit setelah paras air semakin tinggi.

Beliau berkata, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau dikerahkan ke tempat kejadian.

“Setiba anggota bomba di lokasi mendapati Kampung itu mula ditenggelami banjir dan terdapat seramai 23 mangsa terperangkap di rumah masing-masing.

“Semua mangsa berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Mutiara di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kesemua mangsa terlibat membabitkan enam keluarga terdiri daripada tiga wanita warga emas, dua bayi, lima lelaki dewasa, lima wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Katanya, kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan, operasi ditamatkan pada pukul 7.45 pagi.

Dalam pada itu, komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba II, Iszahwati Supardi berkata, seramai 17 mangsa banjir membabitkan dua keluarga di Jalan Kampung Sentiasa Damai 8 dipindahkan ke Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, di sini.       

Menurutnya, seramai enam anggota daripada Balai Bomba Pasir Gudang dengan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.29 awal pagi hari ini.

“Mangsa termasuk seorang wanita warga emas, seorang lelaki dewasa, empat wanita dewasa, enam kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan dan seorang bayi.

“Operasi tamat pada pukul 3.36 pagi hari ini setelah semua mangsa berjaya dipindahkan,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya