PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan Bantuan Awal Pengajian (BAP) berjumlah RM100,000 kepada pelajar B40 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi meneruskan pengajian.
Bantuan itu melibatkan 100 pelajar semester satu hingga tiga di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dengan peruntukan sebanyak RM1,000 dengan pemilihan mereka telah dikenalpasti oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAS.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Rosaline Neging berkata, pemberian insentif itu diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar untuk meneruskan sesi pengajian.
Katanya, ia juga secara tidak langsung memberi semangat dan motivasi pelajar untuk mendapat keputusan yang cemerlang.
“Setiap pelajar yang menerima insentif kewangan boleh menggunakan bantuan tersebut untuk membeli kelengkapan alatan pembelajaran yang masih belum mencukupi,” katanya dalam kenyataan.
Dalam majlis sama, YBR melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat atau lebih dikenali dengan nama ‘SIR Corner’ turut menyumbangkan set kelengkapan ‘SIR Corner’ kepada Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY).
Langkah itu bagi membantu seluruh pelajar UniMAS dalam mendapatkan maklumat terkini serta bahan-bahan bacaan ilmiah secara digital.
Menurut Rosaline, inisiatif memartabatkan mutu pendidikan seharusnya diberi penekanan melalui suasana pembelajaran di universiti dengan sumber yang mencukupi serta mudah untuk mengakses maklumat.
“Oleh itu YBR telah mengambil langkah berkerjasama bersama UniMAS dengan mewujudkan satu sudut bacaan digital yang diberi nama ‘SIR Corner’ sekali gus menjadikan UniMAS merupakan universiti yang pertama di Sarawak untuk mempunyai sudut bacaan ini,” katanya. – UTUSAN










