FSK UiTM lancar tiga perkhidmatan baharu kesihatan komuniti

FSK UiTM lancar tiga perkhidmatan baharu kesihatan komuniti

MOHD. Hafiz Mohd. Hanafiah (tengah) menyempurnakan pelancaran tiga perkhidmatan baharu bagi memperkukuh penawaran kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUNCAK ALAM: Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) melancarkan tiga perkhidmatan baharu bagi memperkukuh penawaran kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

Tiga perkhidmatan itu ialah Perkhidmatan Eksekutif Pusat Rehabilitasi dan Perkhidmatan Klinikal (PRPK) FSK, Unit Perkembangan dan Intervensi Awal Kanak-kanak (Ui-PEKA) FSK serta Perkhidmatan Psikologi Kesihatan.

FSK UiTM dalam kenyataan berkata, ketiga-tiga perkhidmatan itu dijangka beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat sebagai sebahagian usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan profesional, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta menyokong agenda penjanaan dan kelestarian universiti.

Katanya, majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Rektor Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (iCARE), UiTM Cawangan Selangor, Prof. Dr. Mohd. Hafiz Mohd. Hanafiah baru-baru ini.

“FSK berbesar hati memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan ini bukan sahaja kepada warga UiTM, malah turut membuka akses kepada masyarakat setempat dan orang awam yang memerlukan perkhidmatan kesihatan berkualiti.

“Menyedari peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses dan berfokuskan pelanggan, FSK mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan yang memenuhi keperluan semasa masyarakat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan turut memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan perkhidmatan kesihatan profesional dengan tempoh menunggu lebih singkat berbanding sesetengah fasiliti kesihatan awam.

FSK berkata, Perkhidmatan Eksekutif PRPK FSK merupakan inisiatif profesional bersepadu yang menghimpunkan kepakaran dalam bidang fisioterapi, optometri, terapi carakerja, dietetik, kejururawatan dan psikologi klinikal di bawah satu pusat perkhidmatan.

Katanya, perkhidmatan itu dibangunkan sebagai pelengkap kepada perkhidmatan sedia ada dengan menawarkan pengalaman penjagaan kesihatan yang lebih fleksibel, komprehensif dan berpusatkan pelanggan.

“Perkhidmatan ini memberi penekanan kepada aspek privasi, keselesaan serta pengalaman perkhidmatan yang lebih premium dan eksklusif,” katanya.

Sementara itu, FSK berkata, penubuhan Ui-PEKA bertujuan menyediakan program intervensi dan rehabilitasi awal secara intensif kepada kanak-kanak berkeperluan khas bagi menyokong perkembangan mereka secara holistik dan optimum.

Katanya, melalui pendekatan multidisiplin melibatkan pelbagai bidang kepakaran, unit itu berupaya membantu meningkatkan potensi perkembangan kanak-kanak serta memberi sokongan berterusan kepada ibu bapa dan penjaga.

FSK berkata, Perkhidmatan Psikologi Kesihatan pula diwujudkan bagi menyediakan perkhidmatan psikologi klinikal yang komprehensif, selain melaksanakan aktiviti promosi, pendidikan dan advokasi kesihatan mental kepada komuniti.

Katanya, penubuhan perkhidmatan itu turut menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan mental dan kualiti hidup masyarakat secara holistik, selaras peranan universiti dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

“Pelancaran ketiga-tiga inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan FSK UiTM dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, memperkukuh jaringan komuniti serta meningkatkan pengalaman pelanggan melalui perkhidmatan yang inovatif, profesional dan berimpak tinggi.

“Seiring aspirasi universiti untuk menjadi institusi yang relevan kepada masyarakat, FSK akan terus meneroka peluang baharu dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan kesihatan, pembangunan modal insan dan kesejahteraan komuniti demi manfaat rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN