YBR bantu 100 pelajar baharu UniSZA

YBR bantu 100 pelajar baharu UniSZA

SYAIFUL Rizal Abdul Ghani (dua dari kiri) mempersembahkan sumbangan YBR kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah merangkap Tuanku Canselor UniSZA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan Bantuan Awal Pengajian kepada pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membabitkan 100 pelajar dari keluarga B40 sebagai persediaan untuk memulakan pengajian, hari ini.

Bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang pelajar itu diperuntukkan berdasaran senarai yang dikenal pasti oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniSZA.

Prihatin dalam meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat melalui pendidikan dalam kalangan belia, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani turut bersama-sama hadir mempersembahkan bantuan awal pengajian kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, merangkap Tuanku Canselor UniSZA.

Syaiful Rizal berkata, YBR sentiasa mencari ruang dan peluang bagi membantu mereka yang memerlukan khususnya golongan B40 dan asnaf dalam mendapatkan pendidikan yang lebih baik.

“Saya percaya melalui bantuan seperti ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat serta motivasi pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian dan mengubah nasib keluarga ke kehidupan yang lebih baik serta mencipta kejayaan di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut mencemar duli pada majlis itu adalah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra’.

Hadir sama dalam sesi tersebut adalah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Datuk Dr. Mohamad Yusof Mohamed Nor.

YBR memperuntukan sebanyak RM479,599 melibatkan 41 inisiatif di Terengganu melalui pemberian bantuan serta pelaksanaan program berunsurkan pendidikan melalui Program Pembangunan Pendidikan dan Masyarakat.

Semua pelajar yang menerima bantuan adalah dalam kalangan pelajar di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda serta membantu meringankan beban kewangan mereka ketika kemasukan ke semester baharu.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya