Wanita kudung dibantu penyelamat berpindah - Utusan Malaysia

Wanita kudung dibantu penyelamat berpindah

SITI Fatimah (kiri) dibantu anak perempuannya, Nor Ain Fatimah Abdul Anzab di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seorang wanita kudung terpaksa dibantu pasukan penyelamat untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setelah rumah yang didiami di Taman Murni Permai, Tok Jembal, di sini, dilanda banjir.

Siti Fatimah Meli, 58, yang kudung kaki kanan selepas dipotong dari paras lutut akibat penyakit kencing manis, diusung menaiki lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira 8.30 pagi tadi.

Menurut ibu kepada enam orang anak itu, dia pada awalnya tidak berhasrat berpindah ekoran kesukaran untuk bergerak meskipun hampir semua penghuni di situ telah ke PPS sehari lebih awal.

Namun, katanya, paras air yang naik mendadak sehingga paras pinggang awal pagi tadi memaksa suri rumah itu segera dibawa ke tempat selamat dengan bantuan APM dan ahli keluarga.

“Semalam (Isnin) memang air dan masuk ke dalam rumah cuma paras betis sahaja. Jadi saya tinggal di rumah ditemani suami, Abdul Anzab Ibrahim, 62, manakala anak-anak pula di PPS.

“Saya sangkakan banjir akan surut hari ini tetapi sebaliknya berlaku apabila air mula memenuhi bilik tidur mencecah paras katil tempat saya terlantar menyebabkan saya agak cemas.

“Salah seorang anak kemudian menelefon APM jam 8 pagi dan mereka datang setengah jam kemudian untuk membawa saya ke PPS,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal, di sini, hari ini.

Menurut Siti Fatimah lagi, dia sudah merasakan tidak sedap hati selepas hujan berterusan turun semakin lebat kira-kira 3 pagi tadi namun masih berharap paras air menurun.

Wanita itu berkata, kejadian kali ini ialah paling buruk sejak 31 tahun tinggal di situ dan tidak menyangka akan menghadapi situasi ini selepas menjalan pembedahan tersebut sebulan yang lalu.

Menurut Siti Fatimah, meskipun berdepan kesukaran dan kurang selesa tinggal sementara di PPS, dia lega dan bersyukur terselamat daripada terperangkap dalam musibah banjir berkenaan.

“Mujur juga saya sudah menyediakan bekalan ubat-ubatan dan dokumen penting untuk dibawa ke PPS. Walaupun tidak selesa kerana hanya mampu terlantar dan duduk di kerusi roda, keluarga ada bersama.

“Tiada apa yang diharapkan selain bencana ini tidak berpanjangan dan pulih segera kerana saya terpaksa menunda beberapa temujanji rawatan susulan di hospital gara-gara banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya