KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa dua individu yang didapati membuat gerakan terancang untuk menarik beberapa ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Armadanya, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, individu terbabit adalah ‘Datuk Botak’ dan bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.
“Jelas bahawa terdapat langkah terancang oleh Perdana Menteri dan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menyogok dan memberi suapan melalui janji-janji bantuan kewangan kepada ahli Parlimen Bersatu bagi kawasan mereka dan juga untuk mereka secara peribadi.
“Terdapat juga satu video menunjukkan identiti seorang ‘Datuk Botak’ yang memainkan peranan untuk menyogok dan mengugut ahli Parlimen pembangkang bagi menyokong Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Jelas Wan Fayhsal lagi, video-video tersebut dimuat naik dalam laman media sosial Facebook dan juga TikTok.
“Video tersebut menjelaskan peranan bekas setiausaha politik Perdana Menteri iaitu Farhash dalam perkara ini.
“Video ini juga tular di Facebook, Tiktok dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya tahu dan mengambil tindakan kerana jelas keempat-empat ahli Parlimen Bersatu didesak, ditekan dan diugut dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika enggan beri sokongan.
“Hal ini jelas merupakan satu salah guna kuasa oleh Perdana Menteri dan satu bentuk rasuah dan perbuatan ini juga menghina peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkenaan undang-undang lompat parti dan bercanggah dengan amalan demokrasi,” katanya.
Terdahulu, Wan Fayhsal memaklumkan laporan polis dibuat Pemuda Bersatu (Armada) tengah malam tadi susulan tindakan beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri.
Tambahnya, laporan kepada SPRM akan dibuat dalam masa terdekat.
“Satu laporan polis sudah dibuat oleh Armada Bersatu tengah malam semalam. Ada yang kata ini (dakwaan terima ugutan) cakap-cakap kosong dan fitnah. Tidak, kita ada fakta dan kes.
“Laporan susulan SPRM akan dibuat dan satu sidang media akan diadakan untuk menjelaskan mengenai laporan polis tersebut,” katanya.
Empat ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar sebelum ini adalah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli). -UTUSAN










