Wan Ahmad Fayhsal bidas Duta Besar Malaysia ke AS isu 'demarche'

Wan Ahmad Fayhsal bidas Duta Besar Malaysia ke AS isu ‘demarche’

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang terkejut apabila Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), menyelarnya supaya tidak bercakap mengenai hal di luar pengetahuannya. 

Ia berhubung ketidakpuasan hati Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkenaan tata tindak (demarche) diterima kerajaan yang dianggap sebagai ‘ancaman’ negara luar, susulan pendirian Malaysia terhadap kekejaman Israel kepada Palestin. 

Wan Ahmad Fayhsal membidas duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kerana beliau benar-benar tidak tahu maksud sebenar Perdana Menteri yang menyentuh berkenaan ‘demarche’. 

“Rupa-rupanya duta besar kita ini di Washington seru nama saya, kata Wan Ahmad Fayhsal jangan bercakap kalau tidak tahu. 

“Memanglah saya tidak tahu apa benda ‘demarche’ ini. Sebab saya tidak tahulah saya dalam dewan. Beliau kata saya cakap di kedai kopi di Machang,” katanya dalam celahan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian dalam celahan semasa Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi kementerian itu. 

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayshal dalam celahannya mengulangi mahu mengetahui kandungan dalam ‘demarche’ tersebut yang mendakwa mengugut Malaysia. 

“Kita perlu tahu supaya kita boleh balas balik pada Amerika. Panggil balik ke Wisma Putra kalau benar mereka ugut kita. 

“Duta kata apa, tidak pernah dalam sejarah kita membela Palestin kita ini diserahkan ‘demarche’ ini kepada Malaysia. Jadi, kenapa tiba-tiba? 

“Apakah kerana Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) rakan baik kepada Washington, buatkan mereka terluka akibat pendirian tegas beliau?,” soalnya. 

Mohamed Nazri hari ini dilaporkan menasihat Wan Ahmad Fayhsal supaya hanya membuat kenyataan perkara-perkara yang diketahui sahaja. 

“Saya nak bagitahu dia apa yang disebut Perdana Menteri di Dewan Rakyat itu benar belaka. Kalau Wan Ahmad Fayhsal ini tidak tahu lebih baik jangan bercakap,” katanya seperti dilaporkan media tempatan. 

Wan Ahmad Fayhsal dalam sidang media semalam tidak berpuas hati dengan jawapan diberi Anwar, berhubung ‘ancaman‘ diterima dari negara luar susulan pendirian Malaysia terhadap kekejaman Israel kepada Palestin. 

Katanya, Anwar seolah-olah memberi mesej salah apabila menyebut perkataan ‘demarche’ atau merujuk kepada tatatindak yang sebenarnya bukanlah bentuk ugutan terhadap kerajaan Malaysia.

Katanya, demarche hanya bentuk pertanyaan melalui saluran diplomatik Amerika Syarikat ke atas Malaysia berhubung pendirian berkenaan isu di Palestin.

Semalam, Anwar memberitahu Dewan Rakyat ancaman dan tekanan diterima Malaysia dari negara Barat yang menyokong Israel menyaksikan kerajaan menerima tiga notis tata tindak (demarche) daripada Kedutaan Amerika Syarikat kerana keengganan Malaysia menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas. 

Pada 28 Oktober lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Anwar bersikap pengecut selepas mengeluarkan kenyataan diugut negara-negara Barat kerana lantang menyuarakan isu serangan zionis Israel terhadap Palestin.

Beliau ragu-ragu jika ugutan itu benar atau setakat rekaan semata-mata dalam keadaan perang di Gaza itu kini menjadi bahan berita utama di peringkat global.

Semasa Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, 24 Oktober lalu, Anwar di hadapan lebih 10,000 orang ramai mengakui menerima banyak ugutan dan teguran oleh negara-negara yang cenderung kepada Israel khususnya Amerika. 

Keesokannya, Anwar mendedahkan Malaysia menerima ugutan daripada pemimpin negara Eropah berhubung kelantangan Malaysia berhubung isu Palestin.

Bagaimanapun, tegasnya, Malaysia tidak sekali-kali patah semangat dan tidak akan menghiraukan sebarang ugutan daripada mana-mana pihak agar sekatan dibuat terhadap negara ini. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN