PETALING JAYA: Peguam Abdul Wahab Abdul Kadir mengesahkan pegawai penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) itu akan memberi keterangan kepada pihak polis dalam masa terdekat ini.
Memberitahu Utusan Malaysia, peguamnya, Faizal Rahman berkata, keadaan Abdul Wahab setakat ini agak tertekan dan memerlukan masa untuk tampil kepada pihak polis bagi diambil keterangan.
“Pihak kami sentiasa berhubung dengan pihak polis khususnya pegawai penyiasat berkaitan kes ini .
“Sepatutnya keterangan Abdul Wahab diambil semalam namun keadaan mengalami kemurungan melampau dan sedang mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini
Faizal Rahman berkata, keadaan ini menyebabkan anak guamnya terpaksa menjadualkan semula pertemuannya dengan polis untuk memberikan keterangan.
“Abdul Wahab akan mengambil keterangan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan, polis masih mengesan Abdul Wahab bagi membantu siasatan berhubung kes rakaman video perbualan lucah kononnya membabitkan dirinya dan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya berusaha menjejaki Abdul Wahab ekoran selepas usaha menghubungi gagal apabila telefon bimbit dimatikan.
“Kita sedang mengesannya kerana dia saksi penting dalam siasatan ini,” ujarnya.
Pada 17 November lalu, Abdul Wahab dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel di Bangi mendedahkan tindakannya merakam perbualan berunsur lucah bersama Mohammad Agus didalangi seorang individu dikenali sebagai Mr H.
Susulan kenyataannya itu, polis memanggil individu dipercayai Mr H yang dimaksudkan bagi dirakam keterangan.-UTUSAN










