Lebih 300,000 pengundi luar dijangka pulang ke Johor

Lebih 300,000 pengundi luar dijangka pulang ke Johor

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan trafik di lebuh raya utama, khususnya di Johor sempena hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Pengerusi LLM, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, keadaan itu susulan jangkaan kepulangan lebih 300,000 pengundi luar untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Beliau berkata, orang ramai yang bercadang memasuki atau melalui Johor disaran merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di laluan utama menuju ke negeri berkenaan.

“Bagi memastikan perjalanan selamat dan lancar di lebuh raya, kerja-kerja yang melibatkan penutupan lorong akan ditangguhkan pada hari pengundian iaitu 11 Julai ini, kecuali kerja-kerja kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasni berkata, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan merancang perjalanan menggunakan aplikasi TujU dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

Katanya, pengguna juga perlu memastikan baki Touch ‘n Go, e-dompet dan kad debit mencukupi bagi mengelakkan sebarang kesulitan di plaza tol.

“Pengguna diingatkan agar mematuhi had laju dan berhati-hati ketika melalui kawasan pembinaan lorong ketiga di Lebuhraya Utara-Selatan antara Simpang Renggam hingga Senai arah utara.

“Selain itu, patuhi arahan ketika pengaktifan SmartLane dan berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah yang disediakan sepanjang lebuh raya,” katanya.

Hasni berkata, pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik semasa serta sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi LLM iaitu Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan TikTok @llmtrafik.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

“Paparan keadaan trafik secara langsung melalui kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi LLM di www.llm.gov.my serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN