PETALING JAYA: Sultan Selangor tidak memberi perkenan kepada mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri.
Beliau berkata, perkara berkaitan masjid atau surau terletak di bawah senarai negeri seperti diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, di Selangor, penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid atau surau tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS di bawah Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Sekiranya surau atau musolla di pusat beli-belah dibenarkan mendirikan solat Jumaat, ia akan menjejaskan usaha memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadat umat Islam.
“Hal ini kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid serta surau solat Jumaat sedia ada berkurangan apabila umat Islam mempunyai pilihan untuk mendirikan solat Jumaat di pusat beli-belah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Salehuddin, ketika ini terdapat 448 masjid dan 379 surau yang diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat di Selangor serta jumlah itu mencukupi serta mampu menampung umat Islam sedia ada untuk menunaikan solat Jumaat di negeri ini.
Katanya, terdapat juga masjid dan surau solat Jumaat yang berhampiran dengan pusat beli-belah bagi memudahkan orang awam menunaikan ibadah berkenaan.
“Solat Jumaat merupakan ibadah penting dan mulia bagi umat Islam serta lebih sesuai didirikan di masjid dan surau yang khusus dibina untuk tujuan ibadah.
“Pelaksanaannya di surau atau musolla pusat beli-belah yang lazimnya dikaitkan dengan tempat perniagaan, hiburan dan rekreasi perlu diperhalusi,” katanya.
Tambah beliau, MAIS juga perlu mengambil kira aspek pelantikan imam, bilal dan petugas lain selain pengurusan serta tadbir urus surau atau musolla terbabit supaya menepati peraturan dan dasar ditetapkan.
Katanya, sekiranya petugas surau solat Jumaat di pusat beli-belah tidak dilantik MAIS, ia boleh menimbulkan kesukaran dari aspek pemantauan dan kawalan termasuk memastikan pematuhan serta keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan MAIS.
Dalam pada itu, MAIS berkata, terdapat satu surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor yang diberikan kebenaran sementara untuk mendirikan solat Jumaat kerana tiada masjid berhampiran premis berkenaan.
“Bagaimanapun, kebenaran sementara itu akan ditarik balik sekiranya terdapat pembinaan masjid berhampiran pusat beli-belah tersebut pada masa depan yang mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat.
“MAIS menyeru seluruh umat Islam di Selangor untuk terus mengimarahkan masjid dan surau supaya institusi berkenaan dapat dijadikan pusat perpaduan umat Islam,” katanya.-UTUSAN










