USM, SpaceIn lancar satelit kecil SpaceANT-D pertama Malaysia  - Utusan Malaysia

USM, SpaceIn lancar satelit kecil SpaceANT-D pertama Malaysia 

PELANCARAN satelit kecil piko pertama Malaysia dikenali SpaceANT-D menggunakan roket Falcon 9 milik Space X dari Vandenberg Space Force Base, California.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) dan SpaceIn Sdn. Bhd. (SpaceIn) melakar sejarah menerusi pelancaran satelit kecil piko pertama Malaysia dikenali SpaceANT-D awal pagi semalam.

Pelancaran sekitar pukul 2.30 pagi waktu tempatan itu menggunakan roket Falcon 9 milik Space X dari Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn, Dr. Norilmi Amilia Ismail berkata, SpaceANT-D akan dilepaskan daripada ‘deployer’ (pengerahan) ‘Alba Orbital’ dalam masa tujuh ke 10 hari lagi sebelum isyarat pertama satelit dihantar ke stesen bumi.

Katanya, SpaceANT-D berukuran 5x5x5 sentimeter (cm) dan berat kurang 250 gram (g) itu akan mendemonstrasikan misi penstoran dan penghantaran data untuk aplikasi IoT.

“Ia dinamakan SpaceANT-D (Space Advance Network Technology) berikutan satelit ini akan menerima data daripada sensor di bumi dan kemudiannya data ini dihantar semula ke stesen bumi.

“Daripada stesen bumi, data akan dihantar ke ‘cloud’ untuk memudahkan pengambilan data oleh pengguna,” katanya di sini, semalam.

Untuk rekod, SpaceIn merupakan salah satu pemenang program akselerator SUPERB yang ditawarkan oleh TERAJU, sebuah agensi tindakan afirmatif Bumiputera yang strategik yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Geran yang dimenangi telah digunakan untuk membiayai pembangunan SpaceANT-D yang mana SpaceIn juga menerima dana daripada CRADLE untuk pembangunan pusat data satelit di USM.

Menurutnya, misi itu merupakan hasil usaha bersama antara USM, SpaceIn, dan Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) dan menandakan pencapaian penting dalam usaha negara untuk mencapai Malaysia Space Exploration 2030.

“Pelancaran satelit ini juga menunjukkan komitmen USM dan SpaceIn untuk membangunkan bakat tempatan, menggalakkan inovasi dan memajukan industry angkasa di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya percaya dengan pengurangan kos melalui penggunaan satelit kecil akan memberi lebih banyak peluang kepada semua untuk menggunakan teknologi angkasa bagi menyelesaikan pelbagai masalah industri dan kehidupan.

”Antara industri tumpuan SpaceIn untuk penggunaan satelit SpaceANT ini adalah industri pertanian, perhutanan dan minyak serta gas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya